Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan Najib kes RM42 juta SRC: Mahkamah lanjut sehari lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan hari ini melanjutkan tempoh pendengaran permohonan rayuan sabitan kes rasuah RM42 juta dana SRC International oleh Najib Abdul Razak untuk sehari lagi, pada tarikh 6 Mei depan.

Ini selepas panel tiga hakim meminta pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu membuat penghujahan substantif.

Bagaimanapun, panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil, kelihatan kesal ketika memberi peringatan itu kepada peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Terdahulu, pasukan pembelaan Najib mengemukakan hujah aspek prosedur kes ini selama lebih sejam, termasuk mengenai penerimaan dokumen tertentu semasa perbicaraan jenayah di Mahkamah Tinggi.

Najib sebelum ini mengemukakan rayuan sabitan bersalah terhadapnya dan hukuman atas tujuh kesalahan penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram lebih daripada RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini pada 8 April, Mahkamah Rayuan juga telah mengingatkan pasukan pembelaan Najib supaya tidak mengemukakan hujah sama berulang kali.

Rayuan Najib pada asalnya ditetapkan selama 12 hari dari 5 April hingga 22 April.

Bagaimanapun, atas permohonan pasukan pembelaan panel hakim menetapkan hari perbicaraan tambahan pada 27 dan 28 April ini.

Karim hari ini meminta keterangan peguam Najib agar lebih tepat dan spesifik dalam penghujahannya.

Gambar fail, Harvinderjit Singh.

"Semua hujah ini, adakah anda berusaha menimbulkan keraguan atas (tuduhan jenayah pecah amanah) CBT atau Amla (tuduhan pengubahan wang haram bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram)? 

"Untuk membantah apa? Beritahu kami secara langsung,” kata Karim.

"Yang paling penting adalah membuat penjelasan, sehingga kita dapat melihat lebih jelas, atau bercelaru kita semua.

"Bagi kami hujah yang akan lekat dalam fikiran kami, bukan yang akan hilang dari fikiran kami," kata Karim kepada Harvinderjit.

Ketika itu, timbalan pendakwa raya utama V Sithambaram kemudian bangun mencelah dan berkata, "jika Yang Arif tidak tegas, kami akan berada di sini sampai Hari Raya Haji."

Harvinderjit kemudian berjanji untuk memastikan hujahannya tepat dan menambah bahawa dia memerlukan setengah hari lagi untuk menyelesaikan bahagian penghujahannya.

Kemudian peguam, Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Najib mempunyai perbicaraan jenayah berkaitan 1MDB yang berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan.

Sebelum ini, hakim mahkamah tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 3 hingga 6 Mei untuk kes perbicaraan rasuah bernilai RM2.28 bilion Najib.

Karim kemudian menetapkan 6 Mei untuk pendengaran tambahan mengenai rayuan SRC Najib. Hakim lain yang bersidang di Mahkamah Rayuan hari ini ialah hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas satu tuduhan penyalahgunaan kuasa, tiga kesalahan jenayah pecah amanah dan tiga pengubahan wang haram berkaitan dengan dana RM42 juta dari SRC.

Semasa memaklumkan keputusan bersalah pada akhir peringkat pembelaan pada hari itu, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepada Najib.

Mahkamah tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk penangguhan hukuman, sementara menunggu permohonannya di Mahkamah Rayuan.

SRC, asalnya anak syarikat pelaburan negara yang bermasalah 1MDB, kemudiannya dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Incorporated (MOF Inc).

Selain menjadi perdana menteri ketika itu, Najib juga pada masa sama ialah menteri Kewangan (yang menjadikannya kemudian pemegang saham tunggal MOF Inc), Penasihat Emeritus SRC dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

[Baca berita asal]