Skip to main
Logo Malaysiakini

Sim jawab pihak ragui sumbangan motosikal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mengadakan sidang media hari ini untuk "membuktikan" sumbangan motosikal kepada penghantar makanan Anas Hazmi Ahmad memang benar-benar terjadi.

Langkah Steven ini menjawab serangan pengkritik, termasuk ahli akademik kontroversi Kamarul Zaman Yusoff, menimbulkan motif pertolongan ahli politik DAP.

Awal bulan ini, Kamarul mengkritik Sim kerana menghebahkan perbuatan amalnya dan memperingatkan umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan "mubaligh Kristian."

Selepas Sim mengatakan dia akan menyaman profesor Universiti Utara Malaysia itu, Kamarul meneruskan kritikannya.

Baru-baru ini, Kamarul menawarkan "hadiah" bernilai RM2,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat mendedahkan maklumat peribadi Anas.

Ini nampaknya kerana dia meragui kebenaran sumbangan tersebut dan ingin menghubungi sendiri penghantar makanan berusia 22 tahun itu.

Bercakap kepada media di pusat khidmat Sim M Bukit Bukit Mertajam hari ini, Anas mengesahkan ahli parlimen itu telah menyumbangkan sebuah motosikal kepadanya.

Katanya, kenderaan itu didaftarkan atas namanya pada 14 April dan dia malah menunjukkan sijil pemilikan kenderaan berwarna merah jambu untuk membuktikannya.

Dia kemudian bergambar bersama motosikal oren itu.

"Saya telah meminta Steven jangan mendedahkan identiti saya selama ini.

"Terima kasih kepada media bersungguh-sungguh melindungi diri saya walaupun diserang dan dituduh macam-macam.

"Saya berasa amat kesal ada yang sanggup menawarkan wang RM2000 (untuk maklumat butiran diri saya) seperti penjenayah.

"Tapi saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Harap orang ramai menghentikan tindakan fitnah ke atas saya dan YB Steven dan membenarkan saya meneruskan kehidupan tanpa gangguan sebegini," kata Anas.

Hentam saya, bukan Anas

Sim menyumbangkan motosikal itu kepada Anas setelah mengetahui dia menghantar makanan dengan basikal yang dipinjam untuk melakukan pekerjaan itu.

Menghantar makanan adalah pekerjaan keduanya kerana pekerjaannya yang lain hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan.

Anas terus melakukan dua pekerjaan walaupun pada bulan puasa di bulan Ramadan.

Pada sidang media hari ini juga, Sim mengecam pengkritiknya kerana melibatkan Anas dalam serangan politik mereka terhadap dirinya.

"Saya orang politik. Dia nak serang saya hentam saya, nak lawan saya, saya terima.

"Apa yang saya tidak boleh terima ialah dia meletakkan 'harga atas kepala' seorang penerima bantuan.

"Itu saya tidak boleh terima. Itu sudah melampau," tegasnya.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berpendapat Kamarul tidak jujur dalam tuntutannya yang mahu “mengesahkan” sumbangan Sim kepada Anas.

"Tapi apabila buat sedemikian ke atas orang yang ditimpa kesusahan. Itu dah melampaui batas.

"Berpolitik perlu ada batasnya kalau tidak rosak masyarakat," kata Sim lagi.