Skip to main
Logo Malaysiakini

Asal guru jadi 'zombi' jalanan - Kisah Pak Long terjebak dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Sudah hampir sepuluh tahun Ramli Omar, seorang pembimbing rakan sebaya AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan antara pengasas Rumah Sinar Kasih, sebuah NGO pemulihan bekas penagih itu 'putus cinta' dengan heroin.

Lebih sedekad lalu, selepas beberapa waktu dia keluar penjara daripada sekian banyak penahanannya, dia bertekad untuk berhenti mengambil dadah.

Menurut Ramli, kini berusia 62 tahun, sebelum 2011, dia terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah jenis heroin selama hampir 37 tahun.

Pertama kali, Ramli mengambil heroin ketika dia berada di tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah agama di Terengganu pada tahun 1974.

Kata Ramli yang mesra membahasakan dirinya sebagai Pak Long sepanjang wawancara bersama Malaysiakini, tidak semua penagih terjebak dengan alasan yang sama.

"Ada menagih sebab ada masalah keluarga, perceraian ibu bapa dan sebagainya.

"Penagih terlibat ni bukan atas satu sebab sahaja. Pengaruh kawan itu satu hal. Tapi untuk Pak Long sebenarnya diri sendirilah.

"Kadang-kadang kita ni terlalu aktif dalam sekolah, kita ‘top student’ jadi mulalah nak mencuba, nak merasa benda baru. Pak Long sentiasa rasa ghairah nak ke depan.

"Jadi dari rasa ghairah itulah bermulanya penagihan Pak Long,” katanya kepada wartawan Malaysiakini di Rumah Sinar Kasih di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di mana silapnya?

Pak Long berkata masalah ketagihan yang dihadapinya berpunca daripada pilihan dirinya sendiri yang salah langkah.

Ibu bapanya, jelas Pak Long telah memberikan pendidikan dunia dan akhirat yang terbaik untuk dirinya.

Katanya tidak seperti beberapa rakan yang dikenalinya terjebak kerana masalah  perceraian ibu bapa, dirinya dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih sayang.

"Ayah Pak Long seorang imam masjid, ibu Pak Long guru mengaji al-Quran.

"Jadi di mana silapnya," soalnya.

Kata Pak Long walaupun dia mula menagih ketika berusia 15 tahun pada 1974, tetapi hanya kira-kira sedekad kemudian penagihannya mula semakin berat dan menjejaskan kehidupannya.

Selepas lulus pendidikan menengah, Pak Long (gambar, atas) melanjutkan pengajian diploma ke Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam dalam bidang kesusasteraan Melayu.

Pada tahun pertama pengajian, Pak Long berkahwin dengan isterinya yang setia disampingnya sehingga kini.

"Alhamdulillah sebab ada Mak Long, dia ini anugerah Allah," katanya sambil menambah dirinya banyak terhutang budi kepada isteri, anak-anak, ahli keluarga serta ibu bapanya dan mertua sepanjang tempoh dirinya menjadi penagih.

Perkongsian hidupnya dengan isterinya (dirujuk sebagai Mak Long sahaja) itu melahirkan enam orang cahaya mata.

"Anak yang sulung sekarang melanjutkan pelajaran peringkat PHD, yang bungsu pula sedang mengikuti ijazah pertama di universiti," katanya.

Kembali ke masa lalu, selepas menamatkan pengajian di ITM, Pak Long mengikuti latihan perguruan dan kemudian menjadi cikgu sekolah.

"Posting pertama di Selama, Perak," katanya memberitahu dia masih terus menagih walaupun berkhidmat sebagai pendidik.

Sepanjang 37 tahun dia menagih heroin, Pak Long telah ditahan di pusat pemulihan sebanyak tiga kali dan dipenjarakan empat kali atas kesalahan memiliki dadah.

Macam bomoh jampi tak jadi-jadi

Katanya, pada awal berkecimpung kegiatan penagihan, dia cuma menggunakan kaedah 'cam' dengan mencampurkan heroin ke dalam rokok, sebelum bertukar cara "chase the dragon" dengan membakar serbuk heroin atas kertas timah dan menghisap asapnya.

Bagaimanapun, akhirnya kata Pak Long dia menjadi 'doktor penagih' yang menyuntik heroin ke dalam badannya.

“Disebabkan terlalu ketagih, dah ‘heavy’ kan. Jadi Pak Long dah tidak guna ’cam’ ke, atau chase dragon ke sebab semua lambat.

"Ibarat macam bomoh pakai jampi tak jadi-jadi. Pak Long tukar jarum terus.

“Benda ketagihan ini sebenarnya bertahap. Setiap hari dos itu bertambah sampai sehari belanja cecah RM100 hanya untuk mengekalkan rasa (khayal) yang sama.

"Ketika itu kita pegawai kerajaan jarang lah gaji RM100 sehari. Gaji Pak Long pun sebagai guru ketika itu RM600 sahaja,” jelas Pak Long.

Pada masa sama, katanya hubungan dengan keluarga, isteri dan anak-anak mula bermasalah serta pekerjaannya sebagai guru juga terjejas.

"Dua tiga bulan baru Pak Long balik tengok keluarga.

"Waktu itu, orang rumah (Mak Long) sambung ambil ijazah di UKM," katanya menjelaskan anak-anak mereka ketika itu bawah jagaan ibu bapa dan mertuanya di kampung.

'Cikgu tidur, mari main'

Sekitar 1987, keadaan kehidupan Pak Long merosot apabila laporan masalah ketagihannya sudah sampai ke Pejabat Pendidikan Daerah dan dia "dinasihatkan berhenti."

"Ingat tak filem P Ramlee? Pak Long dah jadi macam gitu: 'Cikgu suka main bola, hari-hari Cikgu main bola ..... Cikgu tidur, mari kita main," katanya membandingkan keadaannya dengan adegan watak Cikgu Shaari lakonan seniman negara yang selalu tertidur ketika mengajar kelas di sekolah dalam filem Masam-masam Manis.

Berbeza dengan Cikgu Shaari dalam filem itu yang tertidur kerana malamnya bekerja sebagai penyanyi dan pemuzik, Cikgu Ramli (Pak Long) pula, katanya 'lentok' akibat penagihan heroin.

Ditanya bagaimana dia membiayai ketagihannya, Pak Long berkata seorang penagih sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan dos dadah hariannya.

"Semuanya Pak Long tempuh. Penagih ni tiada 'maruah dan rasa malu'. Otak mereka amat kreatif untuk dapatkan duit sama ada secara jahat atau baik. Janji mereka tidak sakit akibat terputus bekalan.

"Kerana penagih paling takut gian (gejala fizikal akibat berhenti dadah) dan disebabkan itulah mereka akan ikhtiar separuh mati semata-mata untuk dadah," katanya.

Ditanya mengenai sumber bekalan heroinnya, kata Pak Long ketika zamannya bergelut dengan masalah penagihan dulu, dadah boleh didapati di mana sahaja, malah di dalam tahanan lokap, di pusat pemulihan mahupun penjara.

Ini kerana terdapat sindiket yang licik menggunakan apa saja cara sekalipun untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa, jelasnya.

Mesti dapat barang

Bagaimanapun, kata Pak Long, dia tidak dapat mengesahkan keadaan semasa dalam tahanan sekarang sekiranya kegiatan sedemikian masih lagi berlaku.

Pak Long berkata pada waktu itu, dia pernah ditahan dalam sel lokap seluas 10 X 10 kaki persegi yang sesak dengan kira-kira 40 tahanan.

Dalam sel sempit itupun, katanya penagihan dadah masih berjalan.

Dalam penjara, kata Pak Long adakalanya harga pasaran gelap untuk tembakau lebih mahal daripada dadah.

"Dululah, pernah (harga pasaran gelap) satu tiub heroin RM100,  tapi sebungkus kecil tembakau cap Kuda harga cecah RM300," katanya.

“Bekalan dadah ni macam magnet tau. Sama ada kita cari dia atau dia yang cari kita. Dadah ni macam magnet lah, tiada utara-utara mesti utara-selatan.

“Dalam bentuk manapun mesti kena dapat. Kadang-kadang bila fikir balik macam keajaiban sebab ketika itu, selagi nampak jalan raya mesti dapat barang sebab tekad nak dadah tu sangat kuat,” katanya lagi.

Sementara itu, selepas berhenti kerja kehidupannya tambah merosot.

Tahun 1987 dia mula menjadi 'doktor dadah' di lorong 'gelap' Jalan Haji Taib, Chow kit dan sekitar Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

"Lorong Chow Kit tu dulu macam lorong hitam, polis kalau sendiri pun tak berani masuk. Sehinggakan masuk meronda berduapun tak berani sebab di sana perniagaan hitam seperti melacur, menagih dadah, pondan.

"Sindiket pun lagi samseng dan (lebih ramai) dari mereka (polis)," katanya menjelaskan perubahan banyak berlaku di tempat itu dan kini lebih bersih, menjadi pusat komersial dan kegiatan masyarakat, khususnya untuk golongan gelandangan serta miskin kota.

Gambar fail, program pendidikan kanak-kanak di Chow Kit.

Menjadi 'doktor' bererti Pak Long berniaga dadah kecil-kecilan yang tidak menguntungkan tetapi cukup untuk meneruskan kebergantungannya terhadap heroin.

"Jadi ‘doktor’ ketika itu merupakan perniagaan. Pak Long duduk di bangku yang di kelilingi tong dan dipenuhi dengan dadah. 

"Setiap pagi akan ada budak-budak yang nak pergi kerja akan singgah di situ dan hulurkan tangan untuk dicucuk.

“Mereka upah kami belikan dadah dan bermakna kami jadi lebih mewah lah. Mewah bukan makin selesa tapi mewah makin zombi sebab seorang kena satu dos je tapi kami sampai tujuh ke lapan dos sebab pelanggan ramai,” kata Pak Long.

Mengimbas kembali kehidupannya di jalanan, katanya waktu itu dia cuma tidur beralaskan kotak di kaki lima 'lorong gelap'.

"Walaupun gelap, tapi meriah kerana cahaya-cahaya lilin yang dinyalakan oleh semua penagih," katanya tertawa kecil.

Pun begitu, jelas Pak Long kemeriahan lorong belakang di jalan Chow Kit pada waktu malam itu bertukar suram pada siang hari.

Ini katanya, kerana ada penagih yang meninggal dunia di tepi lorong atas macam-macam sebab, penyakit, masalah kesihatan, terlebih dos atau perbuatan jenayah.

“Kita dekat lorong ni kalau ada penagih yang mati pagi, petang esok baru polis datang ambil mayat,” katanya menceritakan keadaan di Chow Kit pada waktu itu.

Pusat komuniti di Chow Kit kini.

Menurut Pak Long, kesan ketagihan dadah diumpamakan seperti orang bercinta yang boleh hilang akal dan kewarasan jika putus hubungan disebabkan rasa kebergantungan yang mendalam.

“Dadah ni kalau betul-betul, satu minggu dah boleh okay, sudah hilang semua sakit badan. Tambah lagi dengan perubatan sekarang, doktor bagi methadone kan.

"Tapi yang susah adalah otak sebab otak kita tak bersih. Satu tahun pun belum tentu dapat lupakan sebab kesan tu ibarat macam orang bercinta.

"Kalau orang bercinta tak dapat tengok, tak dapat jumpa tuan badan, tapi dapat tengok bumbung rumah pun jadilah. Sampai tahap macam tu,” katanya.

Jika seseorang penagih itu terlibat penyalahgunaan dadah selama 10 tahun, jelasnya maka dia memerlukan tempoh masa bersih dadah sehingga 10 tahun untuk dia dikatakan pulih masalah ketagihan dadah.

Justeru itu, kata Pak Long walaupun dia sudah tidak mengambil heroin selama sepuluh tahun namun dia belum boleh menganggap diri pulih sepenuhnya kerana tempoh penagihannya selama lebih tiga dekad itu.

“Sekarang Pak Long sudah insaf, walaupun masih dalam proses ‘rehat’ namun cukuplah bergelar penagih yang hidup seperti zombi, tiada arah tujuan dalam hidup,” katanya.

Menurut Pak Long, pengambilan ubat methadone membantu merawat pulih dirinya daripada ketagihan terhadap heroin.

Ini berlaku pada tahun 2011, selepas keluar dari penjara dan selepas singgah serta terjebak lagi dengan kegiatan penagihan di 'port' lorang gelap.

Ketika itu, kata Pak Long dirinya sudah menjadi seperti mayat hidup yang hanya menunggu hari mati.

AADK bantu kaunseling

"Penagih ni dia tak peduli makan dan minum. Bagi Pak Long, yang utama adalah benda ini (heroin).

"Celik dan tutup mata Pak Long hanyalah untuk dadah dan cara dapatkan dadah," katanya menjelaskan betapa teruk gian heroinnya.

Pak Long berkata dia bersyukur dengan petunjuk dan hidayah Tuhan kepadanya mendorong dirinya untuk berhijrah.

“Tanpa pertolongan Allah, tak mungkin dapat keluar daripada ketagihan. Kami tiada apa-apa sebab keadaan kami agak kronik.

"Tiada ubat dan kuasa yang boleh memulihkan kami selain Dia. Semua itu terpulang pada diri sendiri. Kemahuan sendiri,” katanya.

Panduan PRS AADK.

Pak Long kemudian secara sukarela menyerah diri ke Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan.

“Pegawai AADK di situ banyak membantu saya terutama sekali dari segi kaunseling. 

"Sebenarnya, untuk pulih itu senang tetapi untuk mengekalkan pemulihan itulah yang susah. Dugaan-dugaan itu memang banyak.

“Sebab di luar sana ramai kawan-kawan, tokan-tokan dan juga peniaga-peniaga dadah nak melariskan barang mereka.

"Jadi, mereka ini akan cari kita sampai dapat, sampai ke lubang cacing,” tambahnya.

Cahaya dari Rumah Sinar Kasih

Selepas pulih daripada ketagihan, AADK melantik Pak Long menjadi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) bagi membantu penagih-penagih lain yang senasib dengannya untuk menjalani rawatan.

“PRS ni konsepnya kena buat kumpulan, seberapa banyak kumpulan yang dapatlah. Sekurang-kurangnya 10 ke 15 orang yang dipanggil Sokong Bantu.

"Bermakna kita ajar mereka tentang langkah-langkah (pemulihan AADK) kami agar mereka mengakui bahawa kami adalah seorang penagih yang kronik yang mana perlu dibantu.

"Selagi mereka gian selagi itu fikiran mereka semacam, selalu fikir benda itu sehingga tak boleh tidur malam,” jelas Pak Long.

Dokumen modul pemulihan AADK.

Setahun di pejabat AADK Wilayah Persekutuan, Pak Long kemudiannya berpindah ke Klinik Cure & Care di Jalan San Peng di Kuala Lumpur, masih sebagai pembimbing rakan sebaya.

Untuk rekod, klinik ini bawah seliaan AADK dan Kementerian Dalam Negeri yang menyediakan perkhidmatan pemulihan dan rawatan penagihan dadah secara sukarela melalui seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah 1983.

Selepas membantu program AADK sebagai PRS selama lima tahun, Pak Long terdetik untuk menubuhkan kumpulan sokongan kebajikan bekas penagih.

Ketika itu, Pak Long mahu menubuhkan rumah perlindungan, latihan dan pemulihan berterusan untuk bekas penagih, juga sebagai persatuan kebajikan yang mengumpulkan golongan yang senasib dengan mereka.

Menurut Pak Long, ketika itu NGO dan rumah perlindungan bekas penagih sedemikian telah banyak diusahakan oleh pihak swasta, NGO bukan Islam, gereja dan mubaligh Kristian.

Memikirkan tanggungjawab fardu kifayahnya sebagai orang Islam, maka timbul idea Pak Long untuk menubuhkan Rumah Sinar Kasih.

"Ketika Pak Long ingin memulakan NGO Rumah Sinar Kasih banyak cabaran yang dihadapi. Pak Long bukanlah orang kaya, tidak berduit dan tidak berharta

"Tetapi, pada masa itu hanya semangat yang ada sebab Pak Long nampak bagaimana keadaan kawan-kawan ketika di lorong.

"Jadi, itu yang membuatkan Pak Long bertekad untuk menubuhkan Rumah Sinar Kasih ini," katanya.

Menurut Pak Long, pada awal usaha penubuhan rumah perlindungan itu, Puan Nagadevi, kaunselor AADK di Klinik Cure & Care di Jalan San Peng banyak membantunya.

Katanya, usahanya itu membuahkan hasil apabila Pengarah Pusat Kajian Sains Ketagihan (Umcas) Dr Rusdi Abd Rashid dan juga pihak UM Cares dari Universiti Malaya kemudiannya turut menyokong persatuan Rumah Sinar Kasih.

 Kini Presiden Persatuan Rumah Sinar Kasih, Dr Rusdi Abd Rashid.

Selain pemulihan dan rawatan penagih, sejak 2017, Rumah Sinar Kasih sudah menjalankan beberapa kegiatan ekonomi dan keusahawanan. 

Antaranya menanam dan menjual benih pisang berangan menggunakan teknik tisu kultur dengan bantuan Jabatan Biologi Universiti Malaya.

Kini, penghuni Rumah Sinar Kasih juga mengusahakan ternakan ikan keli, ayam kampung organik dan kebun sayur.

Ada juga penghuni yang membela ikan hiasan arwana bagi tujuan komersial, membuat perabot daripada kayu palet dan tidak kurang yang meluahkan bakat seni sebagai pelukis serta pereka grafik.

“Banyak kegiatan kami lakukan di rumah ini. Sekarang di sini ada tujuh orang. Enam orang pemulihan dan seorang psikiatrik.

"Di Rumah Sinar Kasih ini juga, mereka diajar bangun sahaja pada waktu subuh sehingga waktu tidur malam, jika mereka tidak ambil dadah, mereka akan melakukan sujud syukur.

“Ya Allah Ya Tuhanku, terima kasih kerana hari ini kami hidup tanpa dadah,” kata Pak Long menekankan pendekatan psikologi kerohanian membantu penagih yang 'tersesat' jalan menemui jalan pulang.

Menurutnya lagi, ada tenaga pengajar agama bertauliah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang mengunjungi mereka setiap minggu, memberi tazkirah, berkongsi ilmu dan mendengar luahan serta persoalan penghuni Rumah Sinar Kasih.

Sebagai pengajaran dan pesanan kepada umum, Pak Long menasihati supaya menjauhkan diri daripada terjebak dengan dadah.

“Jangan pernah ingin mencuba. Percayalah benda ini tak boleh berpatah balik.

"Pak Long cakap depan anak-anak ini jangan pernah mencuba, Pak Long ini orang yang mencuba tetapi bernasib baik dapat kembali,” katanya.

Ternakan ayam penghuni Rumah Sinar Kasih.

Menurut Pak Long lagi, sebagai bekas penagih bukanlah bantuan wang ringgit yang diperlukan sangat, melainkan dokongan untuk mereka boleh hidup berdikari dan dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

“Kami ini sebagai bekas penagih bukan nak apa-apa, kami cuma perlukan sokongan moral dari masyarakat.

"Kami sedar kami dah buat macam-macam kepada masyarakat, tapi berilah kami peluang untuk pulang ke pangkal jalan.

“Kalau nampak kelibat kami di masjid, hulurkan tangan. Jangan pandang serong terhadap kami, lepas tu cakap: ‘Nak curi kasut lah tu’,” katanya.

Bekas penagih dadah, jelas Pak Long sangat sensitif dengan layanan negatif masyarakat.

"Tiada penagih yang ada niat nak menagih sampai mati. Kita perlu saling bantu-membantu.

"Kalau ada adik beradik atau ahli keluarga yang hisap dadah, rangkul dan bantulah mereka," katanya.

Pak Long menjelaskan Rumah Sinar Kasih bersama Umcas, UM Cares dan beberapa pihak lain kini dalam rangka rancangan untuk membangunkan tanah pertanian di sebuah negeri.

Ini katanya akan melatih bekas penagih hidup berdikari memandangkan stigma masyarakat masih tebal dan ramai yang sukar mendapatkan pekerjaan.

“Banyak yang tinggal di lorong tu siapa? Orang kita juga. Jangan buang mereka. Hantar kepada kami di Rumah Sinar Kasih. Jangan takut. Kami tak seksa orang.

"Insyaallah dengan izin Allah, ramai penagih di sini yang sudah pulih,” katanya mengakhiri wawancara bersama Malaysiakini.

Klasifikasi Penyakit Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1994 menyatakan masalah ketagihan pada sesuatu bahan merupakan sejenis gangguan mental, ini termasuklah kebergantungan terhadap alkohol dan dadah (sama ada yang haram atau dengan preskripsi doktor).

Untuk rekod, dari segi sejarah perubatan, heroin sejenis dadah opiod yang diproses daripada morfin (sebatian bunga popi) dan pengeluaran secara komersial dibuat syarikat farmaseutikal Jerman, The Bayer Company pada 1898.

Susulan masalah ketagihan yang berleluasa, pengeluarannya dihentikan dan mula diharamkan pada awal 1930an namun heroin memasuki pasaran gelap serta menyebar ke seluruh dunia diproses di makmal-makmal haram sindiket dadah.

Sekitar hujung 1970an sehinggalah awal alaf baru, masalah ketagihan heroin merupakan masalah penyalahgunaan dadah yang utama di Malaysia.

Apatah lagi ketika itu, pusat pengeluaran heroin terbesar di dunia terletak di segi tiga emas sempadan Laos, Myanmar dan Thailand.

Pada 1996, raja dadah Khun Sa yang memiliki bala tenteranya sendiri menyerah kepada kerajaan Myanmar. 

Kini pengeluaran heroin di segi tiga emas dilaporkan cuma 5 peratus berbanding 70 peratus pengeluaran heroin dunia pada era 1980an.

Penyalahgunaan dan pengedaran heroin adalah melanggar undang-undang Malaysia bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat penjara seumur hidup atau gantung sampai mati bagi kesalahan mengedar dadah.

Bagi pembaca, bekas penagih yang ingin berkongsi pengalaman keluar daripada masalah salah guna dadah, sila hubungi kami di alamat emel: 

[email protected] 


BACA BERKAITAN: 'Lorong gelap' jadi sinar Mak Wan berbakti di Chow Kit