Skip to main
Logo Malaysiakini

Kompaun RM50k: Peguam tawar bantuan guaman pada peniaga colek

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerisauan seorang peniaga colek di Kota Bharu, Kelantan, yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) mendapat perhatian seorang peguam.

Peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berkata dia sedia membantu Mohd Azizi Mohd Nor dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh dengan khidmat bantuan guaman secara pro-bono.

“Saya akan tawarkan bantuan sebagai seorang peguam dari segi khidmat guaman, sekiranya diperlukan.

“Setakat mana yang saya faham, peniaga tersebut telah dikenakan satu kompaun sebanyak RM50,000 dan beliau merupakan seorang individu,”katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya lagi, terdapat kesilapan terhadap kompaun yang dikenakan kerana ianya tidak mengikut Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Akta 342.

“Dari segi undang-undang yang terpakai, kompaun maksimum bagi seorang individu adalah RM10,000. Jadi memang ketara wujud kesilapan undang-undang dalam kes ini,” jelasnya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohd Azizi  dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa dalam tempoh PKP. 

Sementara itu, Nizam Bashir berkata harapannya untuk menolong peniaga terbabit adalah tinggi apatah lagi ketika manusia berlumba mencari pahala pada bulan Ramadan.

“Setakat ini, saya tidak dihubungi oleh peniaga tersebut. Namun saya tidak akan berganjak dari pendirian yang saya telah zahirkan dan Inshallah akan berusaha membantu peniaga tersebut dari segi undang-undang secara 'pro bono' sekiranya diberi kesempatan untuk berbuat sedemikian.

“Apatah lagi dalam bulan mulia ini di mana semua umat Islam berusaha mencari pahala dan mengejar kebaikan,” katanya.

Menurutnya, dia masih menunggu maklumat yang sahih untuk membantu peniaga tersebut.

“Jadi sesiapa yang kenal beliau tolong maklumkan alamat e-mel ([email protected]) saya atau perkenalkan saya kepada beliau. Insya-Allah saya akan ikhtiar segala yang boleh untuk beliau,” jelasnya.