Kerajaan digesa perinci garis masa pelaksanaan Undi18
Kerajaan digesa menyatakan perincian garis masa untuk menurunkan had umur minimum pengundi kepada 18 tahun.
Gesaan itu hadir selepas menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengatakan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang berusaha untuk melaksanakan Undi18 segera.
Persatuan Pengundi Muda, juga dikenali sebagai kumpulan Undi18, mengatakan bahawa kerajaan juga harus menjelaskan apa cabaran teknikal yang menghalang penurunan usia pengundian.
"Takiyuddin dan kerajaan Malaysia perlu memberikan penjelasan berkenaan garis masa yang lebih teliti untuk pelaksanaan RUU (Undi18) kepada anak muda.
"Kami juga berharap agar sebarang kesulitan dalam pelaksanaan RUU Undi18 dimaklumkan," kata mereka dalam kenyataan media hari ini.
Bulan lalu, SPR menangguhkan pelaksanaan Undi18 ke September tahun depan.
Undi18 akan menurunkan had umur minimum pengundi selain mendaftar pengundi yang cukup syarat minimum sebagai pengundi.
SPR sebelum ini mengatakan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah mempengaruhi persiapan mereka untuk melaksanakan Undi18.
Bagaimanapun, Takiyuddin dalam satu kenyataan mengatakan bahawa SPR mempercepat usaha mereka berikutan keputusan kabinet untuk menurunkan usia pengundian tidak lama lagi.
Naib presiden pro-tem Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Lim Wei Jiet berkata, kerajaan Perikatan Nasional harus komited untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada Julai tahun ini seperti yang dirancang sebelumnya.
"Rakyat tidak boleh menerima tarikh selepas Julai 2021.
"Ini kerana meskipun Undi18 berkuat kuasa pada bulan Julai, proses pendaftaran pengundi berusia 18-20 tahun akan memakan waktu berbulan-bulan, dan mereka mungkin tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-15," katanya.
PRU15 dijadualkan diadakan sebaik sahaja darurat ditamatkan pada bulan Ogos.
Ketika ini tidak jelas sama ada SPR masih akan menurunkan usia pengundian dan melaksanakan pendaftaran pengundi automatik serentak seperti yang dirancang, atau hanya akan membenarkan mereka yang berusia 18 tahun mendaftar sebagai pengundi di bawah mekanisme sedia ada.
Ketika ini, daftar pengundi dikemas kini setiap suku tahun, dan keseluruhan proses pendaftaran boleh memakan waktu hingga empat bulan.
Menurut SPR, kira-kira 1.2 juta golongan muda akan menjadi pengundi setelah usia minimum pengundi diturunkan.
Sementara itu, kumpulan Undi18 dan Lim mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican atas usahanya untuk melobi kabinet mempercepat penurunan usia pengundian.
Reezal adalah antara mereka yang berpendapat bahawa kelewatan dalam melaksanakan pendaftaran pengundi automatik tidak boleh menghalang penurunan usia pengundian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai