Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nafi video pukul tular ada kaitan dengan kematian Ganapathy

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua polis daerah Gombak Arifai Tarawe menafikan rakaman CCTV tular yang memaparkan dua individu dipukul ada kaitan dengan kematian A Ganapathy, yang kakinya dipotong dan kemudiannya meninggal dunia setelah ditahan polis.

Arifai berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihan dan lokasi kejadian tersebut.

"Ada video rakaman CCTV sedang tular dalam media sosial mendakwa mangsa yang dipukul tersebut adalah mendiang Ganapathy, yang telah meninggal dunia semasa rawatan di Hospital Selayang.

"Saya dengan ini menafikan perkara ini sekeras-kerasnya. Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang akan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

Dia juga menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan rakaman tersebut serta mengaitkannya dengan kes Ganapathy yang kini dalam siasatan.

Rakaman berdurasi 45 saat itu memaparkan lapan lelaki sedang mengepung dua lelaki yang merunduk di sudut bilik.

Hampir sepanjang rakaman itu, lelaki berbaju biru dilihat memukul dua lelaki itu dengan apa yang kelihatan seperi paip getah. Lelaki yang lain pula hanya melihat dan keawa.

Ia kelihatan berlaku di sebuah bilik kecil. Video itu juga menunjukkan tarikh 28 Januari 2021.

Ganapathy, 40, ditahan polis pada 24 Februari untuk membantu siasatan terhadap saudara lelakinya dan dibebaskan pada 8 Mac.

Dia kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang dan meninggal dunia pada 18 April.

Sebelum meninggal dunia, ibunya S Thanaletchumy, 60, berkata anaknya memberitahu polis memukulnya dengan paip getah.

Ketika di hospital, Ganapathy yang merupakan peniaga susu lembu dan memiliki dua anak berusia lima dan tujuh tahun disahkan mengalami kerosakan buah pinggang dan kakinya terpaksa dipotong.

Arifai juga memaklumkan polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan akan menyiasat kematiannya.

Dia dijangka mengadakan sidang media berhubung kes itu esok.