Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenyataan Hamzah angkuh, hina istana - Pemuda PH

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin menyelar Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang memetik nama "Tuanku" sebagai justifikasi bagi menaikkan pangkat pegawai anggota polis pilihannya.

Jelas Shazni tindakan Hamzah itu adalah satu perbuatan biadab, sekali gus mengheret istana dalam kancah politik.

"Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama ‘Tuanku’ sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota polis yang mahu dipilihnya.

"Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau.

"Kita merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hamzah hari ini mengakui bahawa suara dalam klip audio viral yang membincangkan pemilihan ketua polis baru untuk negara itu adalah miliknya.

Ahli Parlimen Larut itu memberitahu sidang media bahawa dia bersedia mengakui hakikatnya kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya percaya itu benar-benar suara saya. Dan saya tidak melakukan kesalahan. Apa kesalahan di sini?

"Satu-satunya kesalahan (dengan klip audio) adalah orang yang merakam perbualan saya dengan seseorang. Itu salah. Apa yang saya buat tidak salah," kata Hamzah.

Dalam pada itu, Shazni yang juga ketua pemuda Amanah menyifatkan pengakuan Hamzah penuh keangkuhan selain mengakui apa yang dilakukan adalah mengikut skop kerjanya.

Oleh itu katanya, satu laporan polis akan dibuat terhadap Hamzah yang jelas menghina istana.

"Kita merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas. Justeru satu laporan polis akan dibuat pada hari Selasa, 4 Mei 2021 jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

"Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ oleh Hamzah itu disiasat setelus-telusnya. Menteri masih tertakluk kepada undang-undang. Jawatan itu bukan tiket untuk disalahguna, apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara," katanya.