Skip to main
Logo Malaysiakini

IGP hentam campur tangan menteri pada sidang media terakhir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga hari sebelum melepaskan jawatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengeluh berkaitan campur tangan politik dalam pasukannya.

Malah, dia mengakui tidak senang dan mempunyai hubungan tidak baik atau "bad blood" dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

"Jangan megah sangat, (kata) kita menteri dalam negeri berkuasa sangat. Come on," katanya.

Menurutnya, menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.

Hamid berkata, perkara itu telah pun disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Saya bukan langgar saja," katanya pada sidang media terakhir dengan pengarang-pengarang media di Bukit Aman hari ini.

Dia juga membangkitkan kelemahan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang menurutnya bermesyuarat hanya empat kali setahun.

"Sepatutnya setiap bulan bermesyuarat. Mesyuarat pun dua jam, macam minum kopi. Tak ambil berat," katanya.

Dia juga berkata SPP hanya mempunyai pejabat sendiri baru-baru ini, hanya selepas dia sendiri yang meminta ia diwujudkan.

Di masa depan, Hamid mencadangkan suruhanjaya itu diketuai oleh pihak tidak berkepentingan, seperti bekas ketua hakim negara.

Di bawah Perkara 140(3) Perlembagaan Persekutuan, SPP perlu dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas PDRM, iaitu menteri dalam negeri.

'Menteri tak patut jadi pengerusi SPP'

Mengulas lanjut, Hamid membayangkan SPP yang dipengerusikan Hamzah turut dicemari dengan "unsur politik".

Dia turut mempersoalkan mesyuarat SPP yang dijadualkan untuk diadakan hari ini.

Katanya, dari awal lagi dia sudah memaklumkan tidak akan hadir mesyuarat berkenaan kerana sedar ada "niat tidak baik".

“Kenapa mereka adakan mesyuarat SPP pada Jumaat? Kenapa bukan seminggu atau dua minggu lebih awal supaya kita boleh bincang untuk buat penambahbaikan?," katanya lagi.

Dia mendakwa di bawah kepimpinan Hamzah, masih banyak siasatan salah laku polis oleh SPP yang tergantung.

“Inilah situasinya. Isu tidak diambil serius. Bayangkan jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengendalikan urusannya seperti ini.

“Inilah sebabnya kenapa SPP tidak patut dipengerusikan oleh seorang menteri. Lebih baik serah kepada seorang hakim atau bekas hakim. Apabila ia disertai menteri, akan ada unsur politik," katanya.

Hamid berkata apa yang disuarakan hari ini bukan lahir daripada kepentingan peribadi atau soal legasinya, namun demi kebaikan PDRM.

"Janganlah main politik dengan saya, cuba fikir masa depan PDRM," katanya lagi.