Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih gesa pembaharuan dalam pelantikan, pemecatan pegawai tinggi k'jaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bersih mendesak kerajaan melakukan pembaharuan dalam pelantikan dan pemecatan hakim tertinggi dan pegawai tinggi kerajaan lain seperti Ketua Polis Negara (IGP).

Kata badan pendesak pembaharuan pilihan raya itu, hanya dengan langkah itu akan menghentikan penyalahgunaan kuasa.

Bersih menyorot pemecatan bekas Tuan Yang di-Pertua Mahkamah Persekutuan allahyarham Mohamed Salleh Abas pada tahun 1988, skandal kehakiman pada 2007 yang menampilkan peguam VK Lingam dan pelantikan sepihak Latheefa Koya pada 2019 sebagai pesuruhjaya SPRM.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengesahkan klip audio yang membincangkan pelantikan pegawai kanan polis merupakan suara miliknya.

Namun, Hamzah menyifatkan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana dia merupakan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Bercakap kepada media petang ini, pengarah eksekutif Bersih Yap Swee Seng mengatakan bahawa pelantikan dalam polis harus berdasarkan senarai kriteria objektif.

"Dia merujuk kepada 'ini budak kita'. Itu tidak sepatutnya menjadi kriteria pemilihan ketua polis negara (IGP).

"Seorang IGP, beliau perlu berkhidmat secara profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Sepatutnya neutral dan bukan budak siapa

"Dia sepatutnya berkhidmat untuk rakyat, kepentingan rakyat. Jadi senarai kriteria adalah sangat penting supaya semua pelantikan dibuat berdasarkan kriteria seperti integriti, competency, merit dan juga kepakaran serta pengalaman," kata Yap dalam sidang media dalam talian.

Dalam laporan "Reformasi Pelantikan Pegawai Awam Utama Di Malaysia", Bersih mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pelantikan dan Pemecatan Awam untuk mengatur pelantikan dan pemecatan pegawai utama kerajaan.

RUU itu diharap akan memastikan kekuasaan tidak tertumpu di tangan perdana menteri atau menteri tertentu pelantikan IGP, ketua pesuruhjaya SPRM, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Juruaudit, pesuruhjaya SKMM dan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya.

Tidak seperti sekarang, pelantikan tersebut harus melalui tujuh proses sebelum disahkan.

Proses itu ialah:

1. Menteri melantik Panel Penilaian Penasihat (AAP) bebas yang diketuai oleh tokoh masyarakat sivil. Panel itu kemudian akan menemu ramah dan mencalonkan calon pegawai awam utama.

2. Jemputan terbuka dan maklumat diterbitkan untuk memberitahu orang ramai mengenai kekosongan tersebut.

3. AAP mengesyorkan kepada menteri tiga calon mengikut urutan pilihan.

4. Menteri boleh menerima calon atau merujuk perkara itu kembali ke panel untuk dipertimbangkan semula. Menteri hanya boleh melakukan perkara itu sekali.

5. Menteri mencalonkan calon yang disarankan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC), yang akan bermesyuarat dan mempertimbangkan pencalonan.

6. PSC mengesahkan pencalonan atau merujuknya kepada menteri yang menyatakan alasan untuk pertimbangan semula. Sekiranya diminta pertimbangkan semula, menteri boleh mencalonkan calon lain dari senarai AAP atau mencalonkan calon mengikut budi bicara mereka.

7. PSC mempunyai budi bicara muktamad mengenai calon mana yang disahkan untuk jawatan tersebut. Menteri mesti melantik calon atau mengesyorkan calon itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai tambahan, laporan Bersih mencadangkan pelantikan Pesuruhjaya Pelantikan dan Pemecatan Awam untuk mengaudit proses tersebut.

Kerajaan juga mesti merumuskan kod pentadbiran yang menetapkan pegawai awam utama mesti merangkumi prinsip seperti tidak mementingkan diri sendiri, integriti, merit, keterbukaan, kepelbagaian, jaminan dan keadilan.

Bagi proses pemecatan pula, laporan tersebut mencadangkan proses berikut untuk memastikan ketidakberpihakan:

1. Sekiranya menteri percaya ada alasan yang jelas untuk memecat pegawai awam utama, Agong mesti melantik sebuah tribunal bebas yang terdiri daripada hakim, pesara hakim, pesara kanan pegawai awam dan anggota masyarakat sivil. Menteri boleh menggantung sementara pegawai itu sementara menunggu keputusan tribunal.

2. Tribunal akan mempertimbangkan pertuduhan terhadap pegawai tersebut dan mengemukakan cadangan kepada Agong mengenai apakah alasan pemecatan diterima.

3. Agong akan bertindak atas cadangan tribunal.

Laporan itu ditulis oleh peguam Lim Wei Jiet, yang juga setiausaha agung NGO Hak Asasi Manusia (Hakam) dan pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

"Kita dapat lihat dalam contoh skandal 1MDB di mana jawatan tertinggi seperti Peguam Negara dan ketua pesuruhjaya SPRM dipecat untuk digantikan dengan pegawai yang hanya mengikut arahan (eksekutif).

"Eksekutif akan terus menyalahgunakan kuasa mereka dan tidak diperiksa (jika) agensi kerajaan yang seharusnya mengawasi mereka dan memberikan pertanggungjawaban adalah (dipimpin) oleh 'orang mereka', yang dilantik oleh mereka sendiri dan terhutang budi kepada mereka," katanya semasa sidang media.