Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Tempahan untuk vaksin AstraZeneca dibuka tengah hari esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tempahan bagi pengambilan vaksin AstraZeneca Covid-19 secara sukarela akan dibuka secara rasmi tengah hari esok, kata Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.

Menerusi Twitter, menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata tempahan boleh dibuat secara dalam talian di https://www.vaksincovid.gov.my/.

"Tak perlu daftar semula. Nama sudah ada dalam sistem. Esok cuma buat tempahan tarikh dan PPV (pusat Pemberian vaksin) di laman web. Notifikasi janji temu akan diberi melalui MySj (My Sejahtera).

Katanya, terdapat empat pusat yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin - Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

Tempahan akan diterima berdasarkan 'siapa dulu dia dapat' bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Menjawab pertanyaan umum, kata Khairy tarikh janji temu pertama yang tersedia adalah pada 5 Mei.

Untuk pertanyaan tentang pemeriksaan kesihatan, Khairy mengatakan sesi singkat akan dilakukan oleh doktor di pusat vaksinasi sebelum melakukan suntikan.

Dia juga meyakinkan bahawa vaksinasi menggunakan AstraZeneca dilindungi di bawah dana Covid-19 Vaccine Injury Fund untuk memberi ganti rugi kepada individu yang mungkin mengalami kesan sampingan daripada imunisasi.

Walaupun kini hanya tersedia di KL dan Selangor, Khairy mengatakan kerajaan akan mengukur keberhasilan pendekatan sukarela untuk vaksin itu, sebelum diluaskan ke negeri lain, sementara menunggu penghantaran vaksin lebih lanjut.

Selang waktu antara dos pertama dan yang kedua adalah 12 minggu seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan jawatankuasa itu percaya ini akan memungkinkan mereka memberikan dos pertama kepada lebih banyak orang.