Skip to main
Logo Malaysiakini

Hartal sekolah kecam gangguan seksual diadakan minggu depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gabungan The Nationwide School Walkout Day (NWSD) menggerakkan hartal atau mogok awam bagi memprotes berhubung isu gangguan seksual di sekolah.

Kumpulan itu menggesa pelajar dan guru untuk mogok dari menghadiri kelas, minggu depan sebagai tanda protes terhadap isu berkenaan.

Perkembangan itu hadir ketika terdapat banyak pendedahan gangguan seksual terhadap remaja sekolah dalam tempoh beberapa dekad.

NWSD dalam satu kenyataan berkata, protes itu boleh dilakukan dengan beberapa cara sama ada pada Khamis atau Jumaat minggu depan.

Pertama, pelajar tidak perlu hadir ke sekolah dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga selama satu hari.

Kedua, pelajar boleh keluar dari kelas untuk satu tempoh dengan persetujuan guru atau pihak sekolah.

Perkara yang sama juga boleh dilakukan bagi mereka yang mengikuti kelas dalam talian, kata gabungan itu.

Menurut gabungan itu lagi, sebagai alternatif, pelajar dapat menunjukkan solidariti dengan memakai reben putih dengan jalur atau corak merah atau menggunakan hashtag #MakeSchoolASaferPlace.

"Kami percaya bahawa mogok yang diselaraskan ini akan menjadi pernyataan yang kuat dan perlu untuk menunjukkan bahawa kita mengutuk gangguan seksual.

"Kami juga percaya lagi ramai penyertaan ia akan lebih berkuasa, oleh itu kami minta para pelajar, guru dan orang ramai untuk terus bersama dengan mangsa," kata gabungan itu.

Tunjuk perasaan itu nanti akan hadir dengan lima tuntutan, iaitu:

1. Pelajar diberi hak untuk privasi dan keselamatan ketika berada di perkarangan sekolah.

2.Penyalahgunaan dan serangan seksual diakui dan dianggap sebagai kesalahan serius di dalam dan di luar sekolah oleh pelajar, tenaga pengajar, jawatankuasa sekolah dan pihak berkuasa.

3. Serangan, gangguan seksual dan penderaan harus dikenakan tindakan yang serius dan segera dari pihak sekolah.

4. Mangsa serangan dan gangguan seksual harus diberi perhatian, dilindungi dan diberi sokongan.

5. Mangsa juga harus diberi perlindungan dan bentuk sokongan lain semasa bersuara dan mempertahankan hak mereka di dalam dan di luar sekolah.

Baru-baru ini Malaysiakini mendedahkan mengenai amalan pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan yang menjadi di sesetengah sekolah di Malaysia sekurang-kurangnya sejak dua dekad lalu.

Amalan itu dilakukan antaranya dengan menyentuh pangkal paha pelajar untuk mengetahui apakah mereka memakai tuala wanita sehinggalah kepada meminta bukti darah haid sama ada dengan menunjukkan tuala wanita, melalui calitan dengan jari, putik kapas, atau tisu untuk membuktikannya.

Tidak lama selepas itu, remaja Ain Husniza Saiful Nizam, 17, pula tampil mendedahkan seorang guru lelaki membuat jenaka rogol di dalam kelas, ketika membicarakan soal penderaan dan gangguan seksual.

Ia mencetuskan kemarahan warga maya selepas rakaman video Ain itu tular di Tiktok, sebelum kemudiannya tersebar ke platform lain seperti Twitter dan Facebook.

Ekoran kejadian itu, Ain turut menerima ugutan rogol oleh rakan sekelas lelakinya, namun dilaporkan, pelajar itu telah meminta maaf kemudian.

Polis telah membuka kertas siasatan dan sedang mengambil keterangan pihak terlibat, selepas Ain membuat dua laporan polis, satu terhadap guru tersebut dan satu lagi terhadap rakan sekelasnya itu.

Gabungan NSWD terdiri daripada kumpulan Solidariti Pendidikan, kumpulan pemantau penderaan seksual kanak-kanak, pemuda pergerakan Demokrat Kebangsaan dan Rape Watchdog.

Protes ini turut disokong oleh beberapa kumpulan, iaitu:

1. Women’s March MY
2. Gerak
3. Sekolah Semua
4. Undi18
5. Gerakan Malaysian Youths For Education Reform (MYER)
6. Belia.my
7. Rangkaian Kryss
8. Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM)
9. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
10. Kempen Pelangi
11. Sister in Islam