Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan salahkan orang lain atas kegagalan kamu - Ingat tempelak IGP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Abdul Hamid Bador tidak wajar memberikan alasan tidak munasabah dan menyalahkan pihak lain atas kegagalannya membawa pulang anak perempuan Indira Ghandi, Prasana Diksa daripada bekas suaminya, kata Pasukan Tindakan Indiran Gandhi (Ingat).

Ini selepas Abdul Hamid semalam berkata kelantangan Indira dan NGO menyukarkan urusan kes berkenaan, dalam sidang media terakhir sebelum melepaskan jawatan selaku ketua polis negara Isnin ini.

Kata Abdul Hamid, dia sudah meminta agar Indira tidak masuk campur dalam kes berkenaan.

“Tetapi dia tidak menepati janji. Apa yang terjadi, seseorang, ada NGO yang tampil membuat kenyataan lantang dan mengkritik di sini sana, ketika rundingan sedang diadakan.

“Senang kalau dia berada di dalam negara, tetapi dia di luar negara. Itu masalahnya. Kita tak boleh mudah-mudah masuk (ke negara itu) dan menculiknya untuk dibawa pulang. Tidak. Kita kena lakukan pendekatan berdiplomatik.

“[...] Saya percaya, tahun lepas, sepatutnya ada perkembangan besar boleh dicapai, tetapi kerana gangguan ini, ia menakutkan dia (Riduan), dan (ia) memutuskan komunikasi buat sementara waktu,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 2009, Prasana masih kanak-kanak ketika bapanya - sebelum itu dikenali sebagai K Pathmanathan - melarikannya setelah memeluk agama Islam.

Riduan secara sepihak menukarkan agama dua lagi anak mereka kepada Islam.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama Prasana dan dua adik beradiknya kepada Islam.

Ia turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan.

Memberikan maklum balas terhadap Abdul Hamid, pengerusi Ingat Arun Doraisamy berkata IGP tidak seharusnya menyalahkan orang lain atas kegagalannya sendiri.

“Saya nak bagitahu IGP, semua janji yang dia buat - situasi menang-menang, penamat yang menggembirakan (untuk kes ini), ‘saya tahu dia mana dia (Riduan) berada’, ‘saya berhubung dengannya dengan bantuan seorang politikus’ ... - itu semua hanya janji dimungkiri yang diselindungi dengan kata-kata manis. Itulah dia.

“Ingat tak harus dijadikan alasan atas kegagalannya. Ambillah tanggungawab,” kata Arun kepada Malaysiakini.

Kata Arun, Ingat sentiasa mencari jalan untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Abdul Hamid dan polis, sebagai usaha untuk membawa Prasana pulang ke pangkuan Indira.

Bagaimanapun, setelah kecewa dengan perkembangan yang tidak ke mana, kata Arun, Ingat sendiri yang akan membawa pulang Prasana.

“Biar saya beritahu dia (Abdul Hamid) hari ini - ini janji yang saya berikan buat Indira dan seluruh negara. Kami akan bawa pulang Prasana secara sepihak dalam masa terdekat ini.

“[...] Kami mempunyai hak berdasarkan keputusan Mahakmah Persekutuan, untuk membawa pulang Prasana,” katanya lagi.

Abdul Hamid sebelum ini berkata bahawa bekas suami Indira tidak berada di Malaysia.

Dia akan bersara pada Isnin, dan akan digantikan oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.

Dengan janji dan kekecewaan yang disuarakannya, kata Arul, Ingat tidak meletakkan sebarang harapan di bahu Acryl Sani untuk membawa pulang Prasana ke pangkuan Indira.