Skip to main
Logo Malaysiakini

Dulu DAP Johor bagai kedai runcit, kini menjadi 'pasar raya besar'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hari ini mengumpamakan perkembangan parti itu sebagai perubahan daripada kedai runcit yang menjadi pasar raya besar.

Berucap dalam Konvensyen DAP Johor di Batu Pahat hari ini Liew disebabkan itu mereka mesti menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan tidak perlu takut untuk mengakui kenyataan bahawa parti itu berada pada kedudukan arus perdana.

"Sekarang kita mesti menggunakan skala dan pendekatan pengendalian pasar raya besar untuk menjalankan urusan parti. Kita tidak perlu takut untuk menerima kenyataan bahawa DAP kini adalah sebuah parti arus perdana atau mainstream.

"Kita bukan lagi sebuah parti pembangkang kecil yang hanya tahu membangkang sahaja.

"Sekiranya DAP Johor berjaya melaksanakan transformasi 'sebuah kedai runcit yang menjadi pasar raya besar' maka ia akan membantu pelaksanaan transformasi di seluruh negara," katanya.

Menjelaskan kenyataan itu Liew memberi contoh bagaimana keanggotaan parti terbabit meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2018 katanya DAP Johor memiliki 87 cawangan namun ia meningkat menjadi 210 cawangan pada hari ini.

Jumlah anggota DAP Johor pula kata bekas timbalan menteri pertahanan itu kini sebanyak 23,283 orang berbanding kira-kira 800 orang pada 2008.

Sama seperti negeri lain yang terlebih awal mengadakan konvensyen tahunannya, DAP Johor juga akan mengadakan pemilihan pada hari ini.

Jadi parti kerajaan menanti

Pengundian itu akan menentukan sama ada senator terbabit - yang mendapat sokongan ahli politik veteran Lim Kit Siang - akan kekal mengetuai DAP Johor atau tempatnya akan diganti dengan pemimpin lain.

Untuk rekod sesetengah pemimpin akar umbi menunjukkan pemberontakan terhadap Liew.

Dalam ucapan itu juga Liew mengingatkan ahli DAP agar membuat persiapan bagi menghadapi PRU akan datang agar mandat rakyat dapat dikembalikan.

"Pakatan Harapan dan rakan-rakan kita dalam pembangkang yang sehaluan perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini," katanya.

Untuk mencapai matlamat itu kata Liew ada lima langkah yang perlu diambil iaitu tidak bersikap pesimistik atau cepat putus asa, terus bekerjasama dalam PH dan dengan parti pembangkang yang sehaluan, memastikan semua wakil menumpukan usaha melaksanakan dasar dan memimpin usaha pembangunan komuniti setempat serta menyertai PRU sebagai “kerajaan menanti”.

Katanya sekarang ada masa untuk semua ahli bersatu padu dan membuat susukan baru agar semua rakyat Johor dan Malaysia dapat menikmati hidup yang lebih baik melalui kerajaan baru yang mendapat mandat rakyat.

"Ini adalah tanggungjawab DAP kepada negara dan rakyat.

"Kita telah menempuh pelbagai halangan, namun kita sentiasa jalan terus. Atas kekuatan inilah kita berjaya mencapai matlamat walaupun ramai orang mengatakan ia adalah sesuatu yang mustahil," katanya.