Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian Ganapathy: RM10,000 ganjaran maklumat kesan pihak bertanggungjawab

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejumlah RM10,000 ganjaran ditawarkan untuk maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan pihak yang bertanggungjawab atas kematian mendiang A Ganaptahy.

Menurut peguam keluarga mendiang, K Ganesh, tawaran itu merupakan sumbangan daripada individu yang enggan dikenali yang dakwanya turut pernah berdepan situasi seumpama mendiang.

"Sekarang, memandangkan pelaku jenayah itu masih belum ditangkap, saya telah diminta untuk menawarkan ganjaran RM10,000, untuk sebarang maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan atau sabitan ke atas mereka yang bertanggungjawab ..

"... sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap kematian mendiang Ganapathy," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media sebelum upacara memberikan penghormatan terakhir kepada Ganapathy di rumah keluarga mendiang.

Sidang media itu turut disertai ibu Ganapathy, S Thanaletchumy dan kakanya, A Thangamalar.

Turut hadir melawat keluarga mendiang, Adun Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Pada Mac lalu, Thanaletchumy membuat laporan polis berkenaan dakwaan Ganapathy dipukul dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

Laporan itu dibuat selepas beberapa hari Ganapthy dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Mendiang meninggal dunia pada 18 April lalu.

Pada sidang media tadi, Ganesh turut mengedarkan kenyataan media kepada pemberita untuk menjawab kenyataan terdahulu oleh Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe pada hujung bulan lalu berhubung kematian Ganapathy.

Kata Ganesh, kenyataan Arifai itu mengandungi percanggahan.

Arifai, kata Ganesh, ada menyebut bahawa "siasatan masih dijalankan" terhadap aduan ibu Ganapathy tentang dakwaan mendiang dipukul dalam tahanan.

Pun begitu, menurut Ganesh dalam kenyataan sama, Arifai menyatakan kertas siasatan akan dimajukan ke pejabat peguam negara (AGC) "dengan cadangan inkues".

"... Ini jelas menunjukkan bahawa mereka telah sampai ke jalan buntu dalam penyiasatan mereka dan inkues perlu diadakan," katanya lagi.

Ganesh turut mempersoalkan mengapa polis tidak mengambil keterangan Ganapathy sepanjang 12 hari dia ditahan reman dan bertanya apakah keadaan itu disebabkan kesihatan Ganapathy yang tidak mengizinkan.

Berdasarkan kenyataan Arifai juga, Ganesh mempersoalkan mengapa Ganapathy dilepaskan oleh pihak hospital untuk dibawa balik ke lokap, walaupun mendiang terpaksa dibawa ke hospital sebanyak empat kali dalam tempoh reman.

Ini, katanya menunjukkan Ganapathy memerlukan rawatan.

Punca kematian Ganapathy yang dikatakan berpunca daripada necrotizing fasciitis juga, kata Ganesh, adalah akibat luka yang tidak dirawat.

Oleh hal yang demikian, Ganesh menggesa Arifai supaya meletakkan jawatan.

"Di bawah pengawasannya, seorang lelaki telah meninggal dunia (dalam tahanan)," dakwanya.