Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanam pokok dalam rumah: Periksa nyamuk, tanah ada bakteria, kulat - pakar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bagi mereka yang gemar menanam pokok di dalam rumah, aktiviti ini salah satu cara untuk menghilangkan tekanan dan beban kerja di luar.

Mempunyai alasan yang sama, Salina Arifin, 35, berkata minatnya mula timbul sejak dari kecil lagi.

“Melalui pendedahan daripada keluarga yang memang suka berkebun. Tanaman terdiri daripada jenis - jenis orkid, aroids dan juga tanaman untuk makanan,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, melakukan aktiviti tersebut membuatkan dia dapat menjalani hidup dengan lebih tenang dan ‘segar’.

“ […] suasana yang sejuk dan keterujaan melihat tanaman yang semakin hari semakin membesar membuatkan Saya lebih berfikiran positif,” katanya yang juga mempunyai perniagaan menjual tumbuh-tumbuhan The Green Fingers Project

Mengakui aktivit tersebut memakan masa dan belanja agak besar namun dia mengakui terdapat beberapa cabaran lain yang perlu diatasi.

Tambahnya, dia perlu cari ruang lebih besar sekiranya tanaman kian membesar serta penjagaan yang rapi dan kerap supaya dapat mengelakkan serangan serangga.

Salah seorang penggemar menanam tumbuhan dalam rumah, Shamsul Nahar Sikandar,50, turut menceritakan keterujaannya melakukan aktiviti tersebut.

“Saya memang suka menanam pokok dalam rumah dari dulu. Saya lebih seronok sekarang kerana kita kena duduk di rumah.

"Saya ada masa lebih untuk melakukan aktiviti itu kerana banyak masa terluang,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Luahnya, dia juga mengambil masa dua ke tiga jam sehari untuk menguruskan tanamannya setiap hari.

“Untuk siram, tukar baja, potong lebihan dahan, periksa serangga,” katanya dengan menambah aktiviti ini juga seakan bersukan kerana ia mengeluarkan peluh.

Faham tumbuhan, bukan sekadar cantik

Menurut Profesor di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, meskipun aktiviti penanaman dalam rumah mempunyai banyak faedah namun ada hal yang perlu diteliti.

“Dalam tanah boleh ada mikro organisma seperti bakteria dan kulat. Pada keadaan tertentu boleh merbahaya sama ada kerana sentuhan atau gas yang dikeluarkan akibat daripada tindak balas atau aktiviti pereputan.

“Sekarang banyak teknologi baru boleh mengantikan tanah. Sekiranya menggunakan tanah langkah kawalan bagi mengelakkan bahaya itu boleh diambil dari segi kedudukan dan kesesuaian ,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya, penggemar tumbuh-tumbuhan perlu mengetahui langkah kawalan ketika melakukan aktiviti tersebut.

“Ada juga isu pokok yang merbahaya dalam rumah seperti tajam berduri atau mengeluarkan getah. Kefahaman tentang tumbuhan penting untuk langkah kawalan.

“Tidak saja bergantung kepada kecantikan pokok dan kesukaan seseorang,” jelasnya.

Selain itu, Pakar Parasitologi di Universiti Malaya (UM) Dr Chen Chee Dhang turut menyatakan antara risiko lain adalah pembiakan nyamuk, antaranya Aedes.

“Terkadang-kadang, orang tanam pokok, guna pasu yang tidak betul.

“Pasu itu akan menyebabkan air bertakung dan pembiakan nyamuk seperti Aedes. Sebab itu kalau boleh kita nasihatkan mereka yang suka tanam pokok ini elakkan guna pasu yang menyebabkan takungan air.

Kata Chen, selain Aedes terdapat serangga lain namun ia tidak akan menggangu persekitaran rumah dan menjejaskan kesihatan.

“Macam mana pun, penjagaan melakukan aktiviti tanaman pokok ini perlu rapi dan kemas dan pastikan ia tidak memberi kesan kepada orang dalam rumah juga,” tambahnya.