Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kalaulah Musa Hassan bertindak dulu…

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Musa Hassan sepatutnya lebih tahu, bahawa perkara yang salah tetap salah, walaupun ia berlaku sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan dan hukuman

Saya tidak faham apa yang cuba dilakukan atau diperkatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Musa Hasan.

Beliau berkata, tiada apa yang baharu berhubung pendedahan campur tangan ahli politik dalam pasukan polis kerana ia telah berlaku sejak dahulu lagi, malah ketika beliau menjadi ketua polis negara (KPN).

Beliau memberitahu Utusan Malaysia:

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu.”

Musa Hassan telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua polis negara untuk menghentikan campur tangan politik dalam pasukan polis.

Ini menjelaskan mengapa Polis Diraja Malaysia gagal menjadi pasukan polis yang bebas, profesional dan bertaraf dunia bawah kepimpinannya dari tahun 2006 hingga 2010 dan sebelum 2006 lagi - semasa dia menjawat jawatan timbalan KPN.

Bukit Aman

Jika Musa bertindak terhadap penyalahgunaan itu semasa menjadi timbalan KPN atau KPN, atau sekurang-kurangnya menyuarakan ketidakpuasan hatinya seperti Hamid Bador, mungkin pasukan polis tidak akan mengambil masa yang lama untuk berubah menjadi lebih cekap, beretika, bebas, profesional dan bertaraf dunia.

Adakah Musa akan mengisytiharkan sama ada dia bersetuju dengan penyalagunaan kuasa seumpama itu?

Yang salah tetap salah

Adakah dia boleh menerima tindakan tidak berpelembagaan pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis merangkap Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin merampas kuasa dan tugas KPN dalam menentukan pelantikan pegawai kanan polis?

Musa Hassan sepatutnya lebih tahu, yang salah tetap salah, walaupun ia berlaku sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan dan hukuman.

Salah satu sebab mengapa Malaysia tidak mampu mencapai Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebuah negara bertaraf dunia dan semakin mundur dalam tempoh setengah abad yang lalu, dengan semakin banyak negara memintas kita, kerana pihak atasan tidak sedar akan hakikat itu.

Adakah campur tangan politik dan penyalahgunaan kuasa berlaku dalam pelantikan Musa Hassan sebagai KPN?

Mungkin saya salah, namun perlu diingat bahawa pencapaian terbaik Musa sepanjang hayatnya adalah meninggalkan imej yang terpahat erat di ingatan rakyat Malaysia apabila tilam dengan tompokan air mani diusung keluar-masuk mahkamah sebagai bahan bukti dalam kes liwat pertama Anwar Ibrahim pada 1998.

Ironinya, ketika dia menjadi KPN dan timbalan PKN, kita mempunyai seorang perdana menteri yang memulakan tugasnya dengan begitu cemerlang; menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja mengenai pembaharuan Polis, yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Dzaiddin Abdullah dan bekas KPN Hanif Omar menjadi timbalannya.

Suruhanjaya inilah yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) pada 2014.

Jika IPCMC ditubuhkan lama dahulu, sudah tentu A Ganapathy tidak mati ketika berada dalam tahanan polis, kerana IPCMC ditubuhkan, antaranya untuk membendung kes seumpama itu.

Kini, peguam keluarga Ganapathy, K Ganesh mengumumkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian mendiang.

Ganjaran itu ditawarkan oleh penyumbang tidak bernama yang mengakui turut pernah menjadi mangsa keganasan polis.

Dia tolak IPCMC

Jika dilihat balik, Musa sebenarnya tidak boleh menafikan hakikat bahawa dia memainkan peranan dalam menolak cadangan penubuhan IPCMC yang masih tidak dilaksanakan sehingga hari ini sejak 17 tahun lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan semakin hampir untuk menubuhkan IPCMC sebelum digulingkan dalam Langkah Sheraton yang membentuk sebuah kerajaan tidak sah, kakistokrasi, tidak demokratik dan caca-marba.

Adakah Musa bersetuju bahawa kabinet Muhyiddin Yassin harus membaca atau membaca semula laporan suruhanjaya siasatan diraja mengenai pembaharuan polis dan 125 cadangannya yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 29 April 2005?

Berikut antara dapatan suruhanjaya pasukan polis:

"Mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan hak asasi manusia. Undang-undang Malaysia secara amnya mematuhi kebebasan asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prosedur polis yang ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IPSO) juga pada umumnya memenuhi syarat hak asasi manusia. Namun, penemuan Suruhanjaya adalah bahawa terdapat penyalahgunaan hak asasi manusia secara meluas dan konsisten dalam pelaksanaan undang-undang ini dan perintah tetap oleh anggota PDRM. Ini telah menambah penghakisan integriti dalam perkhidmatan polis dan semakin merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting ini." (hlm 4)

"Budaya impuniti (bebas daripada hukuman): Kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh dunia adalah 'budaya impuniti' dalam pasukan polis dan PDRM tidak terkecuali. Gabungan perlakuan rasuah individu dan sistemik dan kurangnya ketelusan dan pengawasan menyebabkan budaya polis terlepas daripada pemantauan di peringkat dalaman dan juga luaran.

"Budaya impuniti memakan diri. Apabila pegawai bertindak melanggar undang-undang dan peraturan tanpa rasa takut atau disiasat atau dikenakan teguran, budaya impuni mulai berkembang. Setiap kesalahan yang tidak disiasat atau dihukum atau disokong oleh pegawai yang lebih tinggi dalam kepemimpinan polis, mewujudkan persepsi bahawa kesalahan tersebut adalah dibenarkan. (hlm 122)"

Hamid Bador dalam sidang media terakhirnya sebagai ketua polis di Bukit Aman

Adakah Musa akan menyokong kejayaan mantan KPN Hamid Bador dalam mendapatkan persetujuan pasukan polis untuk membentuk IPCMC dalam mesyuarat bersama 20 pegawai kanan polis dan ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed pada Mei 2019?

KPN ke-13, Acryl Sani Abdullah Sani akan memulakan tugasnya esok. Apakah agaknya pendirian beliau berhubung IPCMC?


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.