PKR: SPRM tak boleh diam diri, pandang remeh dakwaan Hamid Bador
PKR hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat unsur rasuah di sebalik tindakan sejumlah ahli parlimen yang melompat parti, yang dibangkitkan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, Jumaat lalu.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana pendedahan yang dibuat Abdul Hamid itu tidak boleh dianggap remah dan SPRM tidak boleh berdiam diri dengan dakwaan tersebut.
“Teguran terbaru Abdul Hamid bukan sesuatu yang baru buat kami, itu hanya mengesahkan lagi kenyataan kami terdahulu. Bola sekarang di kaki SPRM, yang buat pendedahan ini bukan calang-calang orang, beliau ketua polis negara.
"Kalau SPRM memilih berdiam diri itu adalah satu yang malang buat negara kita. Tindakan SPRM juga tidak harus bersikap terpilih,” katanya sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Pada Jumaat lalu Abdul Hamid dalam sidang media membuat beberapa pendedahan berkaitan tugasnya selama ini.
Antara lain, bekas pegawai kanan Cawangan Khas PDRM itu meminta SPRM menyiasat unsur rasuah di sebalik tindakan sejumlah ahli parlimen yang melompat parti.
Sejak Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui pakatan beberapa parti pembangkang serta Bersatu, sejumlah ahli parlimen berpaling tadah dan mengumumkan sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.
Ia berlaku ketika kedudukan sebenar sokongan ahli parlimen di belakang presiden Bersatu itu dipertikai dan kerajaan pula bertegas enggan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang parlimen.
Malah sebelum ini tular rakaman audio dikaitkan dengan Muhyiddin yang menyarankan amalan memberi jawatan (scheme of things) untuk menarik sokongan ahli parlimen kepada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki setelah mendakwa ada anggota parlimen PKR yang mengaku ditawarkan sogokan agar lompat parti.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata siasatan SPRM itu juga tidak hanya perlu menjurus kepada masa sekarang.
Sebaliknya, kata Saifuddin ia juga perlu dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Gesaan kami tidak hanya untuk masa sekarang, kami juga mengakui pada masa lepas dalam tempoh 22 bulan PH memerintah kita juga akui ada wakil rakyat Umno yang (lompat) ikut menyertai komponen dalam PH, kenyataan kami bersikap terbuka dan terpakai kepada semua dan sepanjang masa sebab politik tak boleh dicemari dengan amalan seperti ini (lompat parti, rasuah).
“Saya setuju ia harus kalau tindakan dan siasatan dibuat tidak boleh ikut tempoh masa, yang lepas (zaman PH), sekarang (zaman PN) dan yang akan datang semua perlu disiasat,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai