Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebebasan dikekang: Garis masa tekanan terhadap media di M'sia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejak Perikatan Nasional (PN)mula menjadi kerajaan pada Februari tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Saifuddin Abdullah telah menyatakan komitmen untuk menegakkan kebebasan media.

Bagaimanapun, dalam masa 14 bulan pentadbiran PN, sudah ada beberapa siasatan ke atas media dan merosotnya kedudukan Malaysia sebanyak 18 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media 2021.

Ini menunjukkan masih ada jalan panjang dalam aspek kebebasan media di negara ini.

Di tengah-tengah perlawanan terhadap wabak Covid-19 dan usaha media untuk menyalurkan maklumat, portal yang tidak dianggap “media rasmi” tidak dibenarkan membuat liputan di beberapa sidang media dan acara yang berkaitan dengan usaha itu.

Ia bukanlah perkara yang baru di Malaysia.

Bersempena Hari Kebebasan Media Antarabangsa 2021, Malaysiakini mengimbas kembali beberapa peristiwa dan kejadian berkaitan dengan kebebasan media di negara ini.

1961: Cengkaman Umno terhadap Utusan Melayu

Utusan Melayu dilihat bebas daripada campur tangan politik pada 1957. Namun keadaan itu berubah setelah Umno memperoleh hak milik ke atas akhbar itu tahun 1961.

Menurut satu laporan, akhbar itu arahkan untuk menyokong penuh kerajaan, hadkan liputan terhadap parti lain, memberi lebih tumpuan kepada menteri dan menyiarkan kritikan membina terhadap keputusan tidak baik kerajaan.

Susulan pengambilalihan tersebut, editor Utusan pada masa itu Said Zahari mengadakan protes 90 hari untuk mempertahankan hak kebebasan akhbar itu.

Bagaimanapun, ia akhirnya dikawal Umno berdekad lamanya.

Pada 2019, sewaktu pentadbiran PH, Utusan terpaksa menghentikan operasi susulan kekangan kewangan, sehingga menjejaskan kira-kiara 800 pekerja.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Utusan Mohd Taufek Razak berkata kejatuhan media itu kerana terlalu bergantung kepada parti politik.

Utusan dihidupkan semula setahun kemudian di bawah syarikat baru, Media Mulia Sdn Bhd.

1987: Tekanan terhadap The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan dalam Ops Lalang

Tindakan terhadap lebih daripada 100 pemimpin dan aktivis politik, yang dinamakan sebagai Ops Lalang, dilancarkan pada 27 Oktober 1987, semasa pentadbiran kerajaan BN yang ketika itu di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Penahanan ahli politik dan aktivis secara besar-besaran itu dikatakan untuk mengekang konflik antara kaum.

Sehari kemudian, The Star menyiarkan wajah mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di halaman depan akhbar dengan tajuk “ditangkap”

Antara yang ditahan adalah Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Kit Siang, Anggota Parlimen Kota Melaka Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Jelutong Karpal Singh dan Presiden Aliran Chandra Muzaffar.

Lesen penerbitan The Star, edisi hujung minggunya The Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan kemudian dibatalkan.

Lesen mereka dikembalikan pada Mac 1988.

Selepas itu, kebebasan editorial The Star dilihat terjejas apabila Huaren Holdings - syarikat pelaburan milik MCA - mengambil alih akhbar itu.

2003: Malaysiakini diserbu polis, portal tutup selama 10 jam

Pada Januari 2003, polis telah menyerbu pejabat Malaysiakini dan merampas 19 komputer dari jabatan editorial.

Portal juga telah ditutup sementara ekoran rampasan itu, namun ia kembali beroperasi dalam masa 10 jam menerusi bantuan penyokong yang meminjamkan komputer.

Serbuan itu dikatakan dibuat bagi membantu siasatan polis berhubung laporan yang dibuat Pemuda Umno berkaitan surat seorang pembaca.

2006: Sarawak Tribune ucap selamat tinggal, Guanming Daily digantung dua minggu

Sarawak Tribune, yang mula beroperasi pada 1945, menghentikan operasi pada 9 Februari 2006, setelah akhbar harian itu mencetak semula kartun kontroversi Jyllands-Posten yang menggambarkan Nabi Muhammad. Tindakan itu mengundang kemarahan umat Islam dan tindakan kerajaan.

Bagaimanapun, ia kembali beroperasi pada 2010 dengan nama baru- New Sarawak Tribune.

Satu lagi akhbar, Guanming Daily yang menyiarkan imej kartun kontroversi yang sama, turut digantung dua minggu.

2010: Tapisan dan tindakan tunjuk yang mengekang media

Terdapat beberapa insiden tapisan dan tindakan tunjuk sebab yang menimpa media pada tahun 2010.

Pada Februari, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Star susulan komen yang ditulis seorang editornya, P Gunasegaram berhubung hukuman rotan terhadap tiga wanita Muslim yang didapati bersalah atas tuduhan berkaitan seks. Surat itu sehari selepas The Star membuat permohonan maaf kerana menyiarkannya, dengan mengatakan ia tiada niat untuk menghina atau mengguris orang Islam.

Kemudian, pada April, penerbit kanan Joshua Wong meletakkan jawatannya sebagai produser rancangan bual bicara hal ehwal semasa selepas mendakwa amalan "tapisan melampau dan campur tangan kerajaan". Pada bulan sama, dokumentari sembilan episod tentang Empangan Bakun, yang disiarkan di saluran TV2 juga dihentikan kerana kebimbangan BN akan peluang memenangi pilihan raya kecil (PRK) Sibu.

Pada September, pengacara “Hello Malaysia” di stesen radio Mandarin 988 Jamaluddin Ibrahim dan CEO stesen itu, Wong Lai Ngo dibuang selepas mereka menemu bual pastor gay Ou Yang Weng Feng berhubung isu kaum.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendakwa syarikat terbabit telah melanggar syarat lesen 10.2 dan 10.3 ketika menyiarkan sebuah program pada 13 Ogos tahun tersebut.

2015: The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung

Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula 27 Julai 2015, ekoran laporan mereka berkenaan 1MDB.

Menurut kenyataan daripada The Edge Media Group, surat kementerian menyatakan laporan 1MDB itu berprasangka buruk dan boleh memudaratkan ketenteraman awam dan negara.

Penerbit dan CEO The Edge Media Group, Ho Kay Tat dan pemilik kumpulan, Tong Kooi Ong disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana tindakan yang didakwa memudaratkan demokrasi berparlimen.

Pada 21 September 2015, Mahkamah Tinggi membatalkan perintah itu dan pada 2018, Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi sebanyak RM11.26 juta susulan kerugian yang terpaksa ditanggung akibat penggantungan tersebut.

2016: SKMM sekat portal The Malaysian Insider

Pada Februari 2016, SKMM menyekat portal The Malaysian Insider.

Menteri Komunikasi dan Multimedia pketika itu, Salleh Said Keruak mengesahkan sekatan itu dibuat susulan laporan berhubung Najib Razak dan 1MDB.

Sebulan kemudian, pemiliknya The Edge Media Group memutuskan untuk menutup portal tersebut data "sebab komersial".

Pada 2017, portal itu kembali dengan nama baru- The Malaysian Insight.

Jun 2020: Editor portal berita kesihatan ditahan

Polis menyiasat Ketua Pengarang CodeBlue Boo Su-Lyn berhubung beberapa laporan berdasarkan dapatan kajian jawatankuasa inkuiri bebas tentang kebakaran di hospital Sultanah Aminah pada 2016, yang menyebabkan enam kematian.

Su-Lyn mendakwa dia disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Bagaimanapun, polis menjelaskan kes itu dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) menyifatkan siasatan itu sebagai satu intimidasi untuk mendiamkan suara yang mengkritik kerajaan.

Secara kebetulan, tiga hari selepas Su-Lyn ditahan, kebakaran berlaku lagi di hospital Sultanah Aminah. Namun tiada kecederaan dan korban akibat insiden itu.

Mei 2020: Pemberita disiasat susulan ciapan Twitter

Wartawan South China Morning Post Tashny Sukumaran, yang berpangkalan di Malaysia, telah disiasat susulan ciapan berhubung serbuan migran di Selangor Mansion, Kuala Lumpur.

Dia disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi terhadap ketenteraman awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Julai, kesnya di klasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Julai 2020: Siasatan berkaitan dokumentari Al-Jazeera

Tindakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19 menyaksikan pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap migran tanpa dokumen.

Susulan operasi tersebut, Al Jazeera telah menyiarkan dokumentari bertajuk “"Locked Up in Malaysia's Lockdown" yang kemudian menyaksikan enam pekerjanya di Malaysia berdepan siasatan.

Dokumentari itu menyentuh dakwaan layanan buruk pihak berkuasa terhadap migran tanpa dokumen di Malaysia.

Polis menyerbu pejabat Al Jazeera dan menyoal siasat kakitangan serta warga Bangladesh Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemubual dalam dokumentari tersebut.

Md Rayhan kemudian ditahan dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia seumur hidup. Pihak berkuasa pula enggan memperbaharui visa pekerja dua wartawan media itu.

Polis turut menyerbu dua stesen TV lain, Astro dan UnifiTV bagi membantu siasatan.

2021: Malaysiakini didenda RM500,000 ekoran komen pembaca

Pada Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mendenda Malaysiakini RM500,000 atas kesalahan menghina mahkamah berhubung komen pembaca.

Jumlah denda itu amat mengejutkan kerana Jabatan Peguam Negara pada mulanya hanya meminta denda berjumlah RM200,000.

Keputusan majoriti 6-1 itu turut memutuskan bahawa ketua pengarang portal Steven Gan tidak bersalah atas tuduhan yang sama.

Jumlah RM500,000 berjaya dikumpul dalam masa lima jam, dengan bantuan derma daripada penyokong.

[Baca berita asal]