Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri yang patut bertindak - NGO tak setuju mogok sekolah isu jenaka rogol

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan NGO, kumpulan pendidikan dan individu menyuarakan bantahan terhadap gesaan agar pelajar mogok tak hadir sekolah selama sehari, susulan isu jenaka rogol dan gangguan seksual di sekolah.

Dalam kenyataan hari ini, Gabungan Pendidikan Sejahtera Malaysia berkata tanggungjawab terletak pada Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin untuk mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

"Fokus seharusnya diberikan kepada penyelesaian isu. Tekanan yang sewajarnya perlu diberikan kepada peneraju Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya menteri untuk mengambil tindakan tanpa melibatkan pelajar secara besar-besaran," kata jurucakap gabungan, Amidi Abdul Manan.

Ia bgi mengulas gesaan pihak yang dinamakan sebagai Nationwide School Walkout Day (NWSD) Alliance agar guru dan pelajar tidak hadir ke kelas pada minggu depan sebagai bantahan gejala gangguan seksual di sekolah.

"Kami amat kesal dengan beberapa insiden yang boleh ditafsirkan sebagai gangguan seksual terhadap para pelajar. Bermula dengan pemastian kitaran haid pelajar oleh guru sehinggalah kepada ugutan rogol yang merupakanancaman serius terhadap keselamatan pelajar.

"Sikap Menteri Pendidikan yang berdiam diri tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengurang kebimbangan orang ramai amat dikesalkan. Begitu juga dengan sikap peneraju utama dalam Kementerian Pendidikan Malaysia terus mencetuskan kebimbangan," katanya.

Katanya lagi, pihaknya tidak setuju dengan kaedah boikot kerana ia adalah satu pelanggaran disiplin dan tidak wajar dibiasakan.

"Ponteng sekolah atau ponteng kelas tidak wajar dan tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang sah. Pandangan yang baik seharusnya diiringi oleh sikap yang baik. Matlamat tidak menghalalkan cara.

"Ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara guru dan murid. Persekitaran kondusif adalah syarat utama berlakunya pembelajaran yang berkesan.

"Mengheret pelajar seluruh negara dalam isu ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak bertanggung jawab," katanya lagi.

Kenyataan itu disokong 30 anggota, termasuk bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Khailani Abdul Jalil, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (Pendidik) dan The Centre for Human Rights Research and Advocacy.

Isu gangguan seksual di sekolah diperkatakan setelah seorang murid berusia 17 tahun, Ain Husniza Saiful Nizam mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka berkaitan rogol ketika sesi pembelajaran.

Radzi berkata insiden itu sedang disiasat dan tindakan akan diambil terhadap guru jika dia terbukti bersalah.

Ain dan bapanya juga telah membuat laporan polis terhadap guru tersebut. Polis berkata telah memulakan siasatan dengan mengambil keterangan pihak yang terbabit.