Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua kru cedera, kapal bawa diesel terbakar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua kru sebuah kapal tangki yang membawa muatan diesel cedera dan melecur dalam kebakaran dari bahagian dalam kapal tersebut semasa berlabuh di perairan Harbour Trade Centre, Gat Lebuh Macallum, di George Town petang tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Muzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah kapal tempatan yang membawa muatan diesal dan pihak bomba dimaklumkan terdapat dua pekerja lelaki berada di dalam kapal berkenaan manakala dua lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

“Seorang daripadanya berusia lingkungan 30-an mengalami melecur 90 peratus pada badan manakala rakannya berumur 50 tahun cedera di bahagian kepala dan tidak melecur," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kedua-dua mangsa warga tempatan itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata seramai 50 pegawai dan anggota bomba daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Lebuh Pantai, Jalan Perak, Bagan Jermal dan Bayan Baru dibantu Pasukan Bomba Sukarela di kawasan itu terlibat dalam operasi tersebut dan api berjaya dikawal pada 4.44 petang.

"Pihak bomba masih membuat pemantauan dan kawalan di kawasan kapal itu bagi memastikan tiada api, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

- Bernama