MAIPs peruntuk RM639,000 kepada pelajar Perlis di Mesir, Jordan
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), memperuntukkan Agihan Dermasiswa berjumlah RM639,000 untuk anak negeri Perlis, yang belajar di negara Timur Tengah.
MAIPs menerusi satu kenyataan hari ini menyatakan, sejumlah RM549,000 diperuntukkan untuk pelajar di Mesir dan RM90,000 lagi, untuk mereka yang melanjutkan pelajaran di Jordan.
Kenyataan itu menyatakan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah bertitah menasihati warga Perlis yang berada di luar negara, khususnya di lokasi-lokasi yang berisiko tinggi menghadapi gempa bumi, supaya sentiasa mengambil tahu dan membuat persiapan peribadi untuk keselamatan diri dan juga harta benda.
“Semasa berlakunya gempa bumi jangan panik, lindungi kepala daripada sebarang objek yang mungkin terjatuh, serta matikan suis utama elektrik bagi mengelakkan kebakaran dan elakkan menggunakan lif sekiranya berada di dalam bangunan,” titah baginda.
Baginda yang juga Dipertua MAIPs turut menasihati, agar mereka yang berada di kawasan risiko gempa bumi untuk tidak melalui jalan-jalan atau lorong-lorong sempit, tetapi sebaliknya berkumpullah di kawasan yang lapang.
“Sekiranya seseorang itu sedang memandu, elakkan berhenti secara mendadak. Berikanlah kerjasama sepenuhnya, dalam usaha menyelamat mangsa-mangsa gempa. Pada masa yang sama juga, dapatkanlah informasi yang sahih dan boleh dipercayai sahaja,” titah baginda.
Baginda bertitah, terdapat juga risiko-risiko bencana lain yang lebih hebat di luar negara seperti tsunami, taufan, siklon, kebakaran hutan, banjir lumpur, hujan batu dan pelbagai lagi, yang mesti juga diambil peduli dengan serius oleh rakyat Perlis sebagai masyarakat yang bermentaliti kelas pertama dalam tindakan.
Kenyataan tersebut juga menyatakan, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga telah berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs di Masjid Al-Abrar Kubang Gajah, Arau, semalam.
Hadir sama Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai