Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat Malaysia dan pasangan terkandas di India

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keputusan kerajaan menyekat penerbangan penumpang dari India akibat wabak Covid-19 menyebabkan rakyat Malaysia dan pasangan mereka yang berada di negara itu menghadapi kesukaran akibat terkandas.

Seorang pembaca Malaysiakini, yang suaminya terkandas di India berkata, dia dimaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa rakyat Malaysia dan pasangan mereka yang bukan warganegara boleh pulang dan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Namun, pembaca berkenaan ingin tahu bagaimana suaminya, yang melakukan perjalanan ke India sebelum larangan itu dikuatkuasakan boleh pulang ke tanah air setelah penerbangannya pada 28 April dibatalkan - pada hari yang sama larangan itu berkuat kuasa.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa tiada penerbangan yang tersedia buat masa ini.

"Keadaan di India buruk. Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal," katanya.

Namun, Wee berkata sekiranya ada usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dan pasangan mereka di India, ia berada di bawah bidang kuasa Wisma Putra dan tertakluk kepada persetujuan MKN.

Sehingga kini, belum ada petunjuk dari Kementerian Luar Negeri bahawa akan ada penerbangan khas untuk membawa mereka yang terkandas pulang.

Tahun lalu ketika permulaan wabak mula tercetus, MIC mengatur penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Luar Negeri berhubung rancangan terbaru itu dan sedang menunggu maklum balas.

Seorang pegawai akhbar berkata belum ada kenyataan dikeluarkan.

Walaupun penerbangan dari India telah disekat, Malaysia Airlines masih melakukan beberapa penerbangan dari negara itu ke Malaysia.

Bagaimanapun, penerbangan ini hanya membawa muatan kargo dan bukan penumpang.

Perubahan daripada status penerbangan penumpang kepada penerbangan kargo merupakan amalan biasa semasa wabak Covid-19 akibat pengurangan perjalanan antarabangsa.

Larangan itu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan India kini menyaksikan kes harian Covid-19 tertinggi di dunia dengan lebih daripada 355,000 kes baru direkodkan semalam.

Penyebaran pantas itu dikatakan disebabkan oleh varian B.1.617 Covid-19.

Pihak berkuasa Malaysia berjaya mengesan kes pertama varian India di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.

Belum ada bukti menunjukkan bahawa varian B.1.617 menular di dalam negara.

Kerajaan menyatakan kebimbangan bahawa varian Covid-19 yang lebih berbahaya diimport ke negara ini oleh pelancong yang dijangkiti.

Varian Afrika Selatan B.1.351, yang pada awalnya dikesan di beberapa kawasan di Selangor, kini merebak ke Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur, walaupun jumlahnya masih rendah.

Varian Afrika Selatan ini menyebabkan vaksin AstraZeneca tidak berkesan.