Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin pengerusikan mesyuarat sulung MTKB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang menteri kabinet; empat ketua jabatan; dua ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); tiga wakil dewan perniagaan Melayu, Cina dan India, serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.

Antara tokoh tersebut termasuk Sulaiman Mahboob, Azman Mokhtar, Prof Dr Aini Ideris, Dr Asma Ismail, Dr Medeline Berma dan Prof Dr Denison Jayasooria.

Kenyataan itu memaklumkan, MTKB berperanan untuk menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Ini termasuk mementukan sasaran, indikator makro dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara, yang akan dirangka secara inklusif serta menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030,” demikian menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi Muhyiddn hari ini.

Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB.

Tambah kenyataan itu, turut diwujudkan ialah Jawatankuasa Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

- Bernama