Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan sediakan RM3 juta bantu asnaf terkesan Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 ketika Ramadan ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi, berkata sumbangan berkenaan akan diagihkan bermula minggu hadapan melalui 45 kawasan dewan undangan negeri (DUN).

Menurutnya, sumbangan siri pertama itu diberikan kepada golongan asnaf dan miskin terdiri daripada armalah (ibu tunggal), anak yatim, orang kurang upaya (OKU), dan wakaf katil kepada pesakit kronik di seluruh negeri yang dikenal pasti melalui penghulu-penghulu di setiap mukim.

"Bagaimanapun, sekiranya kerajaan negeri mengisytiharkan lockdown (PKP lebih ketat) akan ada pula bantuan tambahan yang akan diberikan kepada golongan sasaran yang benar-benar terjejas.

"Namun apa yang dibimbangkan adalah ketika agihan dilakukan dan bagi mengelakkan daripada timbulnya pula 'kluster agihan' saya amat berharap semua pengurusan DUN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya selepas merasminkan agihan zakat Ramadan kepada 310 keluarga asnaf seluruh Kelantan yang diadakan secara pandu lalu di Peringat, Kota Bharu, malam tadi.

Pada majlis itu Mumtaz menyampaikan replika cek bernilai RM15,000 kepada Yayasan Amal Dato' Zul Wisma.

Sementara itu anggota dewan undangan negeri (Adun) Demit itu juag berkata walaupun ada antara penerima sumbangan sudah merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), namun dalam keadaan semasa pada ketika ini, ia tidak mencukupi.

"Dalam situasi penularan wabak Covid-19, kebanyakan mereka yang terkesan adalah orang kampung atau peniaga kecil-kecilan jika hendak dibandingkan dengan mereka yang menerima gaji bulanan dan bonus.

"Bagi mengatasinya, menteri besar Kelantan ada memberi arahan kepada semua exco untuk melihat apa-apa bentuk sumbangan yang boleh diberikan berdasarkan portfolio masing-masing dalam usaha membantu rakyat semaksimum mungkin.

"Kami di kerajaan negeri turut berterima kasih kepada penyumbang dan penggerak badan bukan kerajaan (NGO) yang secara tidak langsung membantu menghulurkan sumbangan sekali gus meringankan beban golongan kurang berkemampuan berdepan pandemik Covid-19," katanya.

Sepanjang tahun lalu tambahnya kerajaan negeri sudah membelanjakan RM675,000 melalui Skim Cakna Suri yang membayar one off kepada 6,750 suri rumah kategori B40 bagi siri pertama bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

"Insya-Allah, dalam jangka masa terdekat ini kerajaan negeri akan meneruskan Bantuan Cakna Suri siri kedua membabitkan 4,500 penerima.

"Kami juga akan memperkenalkan Bantuan Cakna Hawa kepada 4,500 penerima khususnya kepada golongan wanita bekerja yang berpendapatan rendah yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19," kata Mumtaz.