Skip to main
Logo Malaysiakini

Demokrasi tak berfungsi normal punca Hamzah 'lancang' - Kit Siang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sistem demokrasi di negara ini, kata Lim Kit Siang, kini tidak berfungsui secara normal dan kerajaan tidak pun berusaha berusaha untuk mengatasinya.

Veteran DAP itu berkata jika sistem demokrasi berjalan dengan baik, sudah tentu Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin akan didesak agar meletakkan jawatannya.

Menurut Lim pelekatan jawatan selepas berlaku sesuatu yang menjejaskan nama seseorang pernah berlaku ke atas pemimpin lain termasuk Abdul Rahman Talin pada 1964.

Ketika itu kata Lim ahli politik terbabit melepaskan jawatannya sebagai menteri pendidikan apabila kalah dalam saman fitnah terhadap pemimpin Parti Progresif Rakyat, DR Seenivasagam.

"Kerajaan yang terbentuk hari ini adalah kerajaan pintu belakang, tidak cekap, tidak demokratik, kakistokratik dan tidak sah.

"Kerajaan juga takut untuk mengadakan sidang parlimen kerana bimbang mereka tidak mempunyai bilangan majoriti yang cukup.

"Inilah sebabnya mengapa Hamzah bertindak lancang dan tanpa segan silu mengakui bahawa suara dalam rakaman audio tular mengenai campur tangan pelantikan ketua polis negara yang baru adalah miliknya dan kononnya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Nama Hamzah menjadi perhatian ramai sejak akhir-akhir ini selepas bekas ketua polis negara memetik namanya sebagai ahli politik yang mencampuri urusan dalaman Polis Diraja Malaysia.

Hamzah merupakan ahli politik yang memenangi kerusi parlimen Larut atas tiket BN namun meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu selepas PRU ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat menjadi kerajaan.

Selepas PH dijatuhkan melalui tindakan sebahagian besar ahli parlimen Bersatu yang bekerjasama dengan 11 ahli parlimen berpaling tadah dari PKR, Hamzah dilantik menjadi menteri dalam negeri.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga melantik Hamzah menjadi setiausaha agung partinya.

Lim berkata apa yang diperkatakan Hamzah dalam rakaman audio berkenaan jelas melangkaui batas-batas demokrasi apabila seorang menteri cuba mencabuli kebebasan dan profesionalisme PDRM.

"Mana-mana ahli politik yang bermaruah dalam tradisi demokrasi Eropah akan meletakkan jawatan sebagai menteri dalam negeri jika rakaman audio seumpama itu tular, tetapi tidak bagi Hamzah.

"Perkara seperti itu mungkin akan berlaku di negara-negara demokratik yang lain di Asia seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan, India, Indonesia dan Singapura, tetapi tidak di Malaysia," katanya ahli parlimen Iskandar Puteri itu.