Skip to main
Logo Malaysiakini

Hajat Selangor dapatkan vaksin tak kesampaian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hasrat kerajaan Selangor untuk membeli sendiri vaksin COvid-19 untuk penduduk negeri itu tidak akan kesampaian buat masa ini, kata Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya pada asalnya kerajaan negeri bercadang membeli terus bekalan vaksin tersebut daripada pembekal namun ia tidak dapat dilakukan selagi keperluan kerajaan pusat belum dipenuhi.

"Sebab mereka (pembekal) tak dapat bekalkan sepenuhnya (untuk) kerajaan pusat, maka mereka tak boleh bekalkan kepada Selangor.

"Secara umumnya saya nak mengatakan bahawa kita nak tangani pandemik, (tapi) vaksinasi tak 'lumat' dibincangkan pakar-pakar dan ahli politik kerana tidak dapat masuk parlimen.

"Semuanya jadi tidak telus sekarang," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Ia dikendalikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pada 18 Jan lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bercadang untuk membeli sendiri 5 juta vaksin untuk kegunaan rakyat negeri itu.

Selain Selangor turut bercadang untuk membeli secara langsung vaksin berkenaan ialah kerajaan negeri Sarawak.

Sementara itu bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula berpendapat tidak adil jika Selangor diletakkan sebagai negeri paling ramai dijangkiti Covid-19.

Katanya, untuk menilai penyakit berjangkit ia perlu mengambil kira nisbah populasi dan kepadatan penduduk.

Katanya jika diukur berdasarkan nisbah setiap 100,000 orang penduduk sesebuah negeri jumlah jangkitan Covid-19 paling tinggi direkodkan ialah Kelantan.

"Kami dengan segala rendah hati mengakui angka kes di Selangor tinggi. Apa pun sifat penyakit berjangkit dia berkait dengan populasi, kepadatan penduduk.

"Saya dengan rendah hati (mahu menjelaskan), kalau mahu diambil ukuran kita tak boleh sekadar mengukur angka. Kalau mahu ukur biarlah 'epal dengan epal'," katanya.