Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi individu didakwa sekutu Jho Low diarah bayar cukai RM6.7 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan telah mendapatkan perintah mahkamah terhadap Casey Tang Keng Chee, individu yang dikatakan orang kanan Low Taek Jho untuk membayar tunggakan cukai yang didakwa melebihi RM6.7 juta.

Keputusan itu menambahkan Tang dalam tuntutan cukai yang diperoleh kerajaan terhadap dua rakan sekutu Low yang lain, iaitu Tan Kim Loong dan Jasmine Loo Ai Swan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan Penghakiman Ingkar Kehadiran (JID) terhadap Tang pada 20 April.

Sebelum ini, mahkamah juga telah mengeluarkan perintah serupa terhadap Tan dan Loo untuk membayar masing-masing sebanyak RM67.9 juta dan RM2.4 juta dalam tuntutan cukai yang didakwa belum dibayar.

Loo yang merupakan bekas peguam 1MDB adalah yang pertama diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar cukai berkenaan pada 18 Februari, diikuti oleh Tang yang juga bekas pengarah 1MDB pada 22 April, dan Tan pada 3 Mei.

Namun, ketiga-tiga mereka, serta Low yang juga dikenali sebagai Jho Low, masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa antarabangsa berhubung skandal 1MDB.

Nama Tang dan Loo disebut berulang kali semasa perbicaraan kes rasuah melibatkan dakwaan penyelewngan dana RM2.28 bilion 1MDB oleh bekas perdana menteri Najib Razak

Nama Tan muncul ketika perbicaraan kes rasuah terhadap Najib melibatkan dana RM42 juta SRC International.

Di bawah undang-undang, plaintif boleh memohon JID jika defenden gagal memunculkan diri, meskipun kertas kausa telah disampaikan kepada defenden menurut Peraturan Mahkamah 2012. Defendan perlu hadir ketika prosiding baik secara peribadi mahupun melalui peguam.

Bagi menyokong permohonan JID, kerajaan juga membuat pemfailan mahkamah bagi membuktikan dakwaan kegagalan Tan untuk hadir dalam tindakan undang-undang terhadapnya.

Melalui pemfailan bertarikh 20 April, kerajaan yang juga plaintif berpendapat Tang tidak dapat hadir walaupun kertas kausa bagi tuntutan cukai telah dihantar melalui iklan di akhbar Berita Harian pada 16 Mac.

Kerajaan juga mendakwa surat-surat mahkamah ditampal di alamat Taman Sri Endah, Kuala Lumpur, pada 17 Mac.

Menurut salinan JID bertarikh 20 April seperti yang dilihat Malaysiakini, Tang diperintahkan untuk membayar RM6,779,852.36 kepada plaintif, iaitu kerajaan.

[Baca berita asal]