Skip to main
Logo Malaysiakini

3,744 jangkitan baru, tepat separuh kes di Lembah Klang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangkitan harian kes Covid-19 terus melonjak dengan 3,744 kes baru dilaporkan hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 17 lagi korban direkod melibatkan warga negara menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,591 orang.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 329 pesakit sedang dirawat di ICU dengan 185 kes memerlukan bantuan pernafasan, maklumnya lagi.

Dengan angka tepat, separuh kes baru hari ini direkod di Lembah Klang, dengan 1,874 kes (dicampur 1,874 di negeri-negeri lain bersamaan 3,744 kes).

Selangor merekodkan 1,548 kes, manakala Kuala lumpur 313 kes. 

Kelantan pula melonjak kesnya (480) dan Sarawak (419).

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula, jelasnya sebanyak 32,939 kes.

Selanjutnya, Dr Noor Hisham berkata 20 kluster lagi dikenal pasti hari ini.

Ia melibatkan lapan kluster berkaitan tempat kerja, enam kluster komuniti, dua kluster keagamaan, empat sektor pendidikan termasuk tiga kluster institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Kluster berkaitan tempat kerja, jelasnya melibatkan Kampung Padang Lalang di Kelantan, Jalan Sawit dan Tanjung Kibong di Sarawak, Sri Manjalara di Kuala Lumpur, Persiaran Layar Perak di Johor, Taman Pertama di Perak, Kopitiam Machap Baru di Melaka, Mutiara Bentong di Pahang.

"Bagi kluster komuniti melibatkan Kampung Paya Ular, Sungai Mas dan Mongkos di Sarawak, Jalan Dato Onn di Johor, Tanah Putih Baru dan Mahkota Height di Pahang.

"Bagi sektor pendidikan, tiga kluster melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM iaitu Taman Medan dan Persiaran Setia Prima di Selangor serta Jalan Yaacob Latif di Kuala Lumpur manakala Jalan Kukup di Johor merupakan pendidikan lain,” katanya.

Bagi kluster keagamaan, dia berkata ia melibatkan Seruling Dua Belas di Selangor dan Jalan Damai Bakti di Kuala Lumpur.

Sebanyak 14 kluster tamat hari ini dengan jumlah kluster aktif sebanyak 411 kluster, jelasnya lagi.

Kes mengikut negeri (kumulatif):

  • Selangor - 1,548 (137,709)
  • Kelantan - 480 (15,851)
  • Sarawak - 419 (33,086)
  • WP KL - 313 (45,090)
  • Johor - 292 (46,733)
  • Pulau Pinang - 195 (20,640)
  • Kedah - 124 (10,518)
  • Negeri Sembilan - 76 (19,180)
  • Terengganu - 73 (4,583)
  • Perak - 65 (15,131)
  • Sabah - 50 (58,511)
  • Melaka - 43 (7,679)
  • Pahang - 49 (5,415)
  • WP Labuan - 5 (2,473)
  • WP Putrajaya - 11 (1,408)
  • Perlis - 1 (369)

Status ringkas:

  • Jumlah kes sembuh baru: 2,304 kes
  • Jumlah kumulatif kes sembuh: 389,846 kes (91.9%)
  • Jumlah kes baharu Covid-19: 3,744 kes
  • Jumlah kumulatif: 424,376 kes
  • Jumlah kes aktif: 32,939 kes
  • Kes tempatan: 3,737 kes (3,514 WN, 223 BWN)
  • Kes import: 7 kes (1 WN, 6 BWN)
  • Jumlah kematian baru: 17 kes (17 WN)
  • Jumlah kumulatif kematian: 1,591 kes (0.37 %)
  • Jumlah kes di ICU: 328 kes
  • Pesakit Covid-19 Intubated: 185 kes


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.