Hantaran tular 'pesawat dari India' - Polis guna ordinan darurat antiberita palsu
Polis telah menggunakan undang-undang antiberita palsu dalam ordinan darurat terhadap hantaran tular di Facebook mengenai penerbangan penumpang yang tiba dari India walaupun terdapat larangan perjalanan.
Kementerian Pengangkutan telah menjelaskan kemudian bahawa pesawat Malaysia Airlines itu telah ditukar menjadi penerbangan kargo dan tidak membawa penumpang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata polis telah memulakan siasatan terhadap hantaran seorang pengguna Facebook dengan nama "Muhammad Fahmi Abdullah."
"(Hantaran itu) dikesan pada 3 Mei 2021, mengenai pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India yang dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini polis telah membuka 12 kertas siasatan bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No.2) 2021 sejak ia dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda hingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Huzir berkata polis juga telah memulakan siasatan terhadap seorang pengguna Facebook dengan nama "Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi" bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan," katanya.
Seksyen 504 berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, manakala Seksyen 233 mengenai penyalahgunaan kemudahan dalam rangkaian.
Wan Hilmi telah menyebut kerajaan "bodoh" dan mendakwa tidak serius menangani wabak Covid-19 dengan kedatangan penerbangan dari India pada hantaran di Facebook 3 Mei lalu.
Pada masa itu, belum jelas penerbangan penumpang berkenaan telah ditukar untuk membawa kargo.
Larangan pelancong dari India berkuatkuasa pada 28 April selepas negara itu menyaksikan peningkatan tertinggi di dunia dalam kes Covid-19 harian baru, yang didorong oleh varian B.1.617 yang lebih berbahaya.
Menurut Huzir, kedua-dua hantaran itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional pada 28 April, yang mengeluarkan larangan sementara kerajaan terhadap perjalanan bagi pelancong dari India untuk mencegah penyebaran varian Covid-19 baru ke Malaysia.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik akaun Facebook tersebut merupakan berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kreajaan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Huzir menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang "bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat keharmonian negara.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetus suasana tidak harmoni serta mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai