Skip to main
Logo Malaysiakini

Keluarga dakwa lelaki dipukul dalam tahanan, polis nafi dakwaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keluarga seorang pemilik kedai aksesori kereta mendakwa dia dipukul oleh polis dan kini tidak dibenarkan berjumpa sesiapa.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan mempunyai alasan undang-undang untuk menolak akses perundangan terhadap tahanan tersebut.

Awal hari ini, keluarga Hong Chen Peng, 38 dalam satu sidang media di Kuala Lumpur memberitahu dia ditangkap oleh polis Sentul pada 1 Mei jam 3 pagi kerana disyaki mencuri kereta.

Kakak Chen Peng, yang hanya ingin dikenali sebagai "Cik Hong" berkata dia pada awalnya tidak mengetahui mengenai penangkapan adiknya kerana sibuk menguruskan pengebumian bapanya.

"Ayah saya meninggal dunia pada 29 April. Adik saya menghadiri majlis itu hingga 30 April sebelum dia pulang pada sebelah malam. Dia tinggal bersendirian di sebuah flat di Kuala Lumpur.

"Ketika saya mengunjungi tempatnya keesokan paginya, saya lihat pintu telah pecah," katanya.

Hong berkata dia tidak dapat menghubungi adiknya, manakala jiran melaporkan bunyi kuat dari unit berkenaan tetapi tiada sesiapa yang memeriksa adiknya.

Ketika sedang sibuk dengan urusan pengebumian bapanya, Hong bercadang membuat laporan polis terhadap kehilangan adiknya pada malam itu.

Tetapi pada sebelah petang, bapa saudaranya menerima panggilan dari seorang wanita.

"Dia beritahu bahawa adik saya dan teman wanitanya masih dalam tahanan dan adik saya dipukul oleh polis," kata Hong.

Wanita itu juga ditangkap dan baru saja dibebaskan dari tahanan.

Hong berkata keluarganya kemudian bergegas ke ibu pejabat polis daerah Sentul untuk mengetahui apa yang telah berlaku tetapi mendakwa mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan Chen Peng.

Hong mendakwa keluarganya melihat sekilas adiknya tetapi diarahkan untuk beredar.

"Abang saya kelihatan tempang," dakwanya.

Keluarga itu kemudian melantik peguam Keppy Wong yang kemudian pergi ke ibu pejabat polis daerah Sentul pada 3 Mei untuk bertemu Chen Peng, yang kini menjadi anak guamnya.

Bagaimanapun, Wong mendakwa polis juga enggan membenarkan dia berjumpa Chen Peng.

Wong, yang hadir pada sidang media hari ini, berkata tindakan menafikan akses terhadap peguam bertentangan dengan undang-undang.

"Menurut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah, polis mesti membenarkan akses sah kepada tahanan," katanya.

Wong berkata penolakan terhadap akses undang-undang hanya dibolehkan dalam kes di mana ia membahayakan siasatan, yang mesti disahkan oleh pegawai polis dengan pangkat timbalan penguasa polis atau lebih tinggi.

"Saya faham tugas polis untuk menjalankan siasatan tetapi pada masa yang sama, haknya sebagai manusia tidak boleh dikompromikan," katanya.

Wong berkata, penahanan lelaki itu dilanjutkan hingga 8 Mei.

Peguam itu menambah dia telah menulis surat kepada ketua polis Sentul mengenai perkara itu dan berharap dapat diberikan akses secepat mungkin.

Wong juga menyatakan kebimbangan bahawa lelaki berkenaan mungkin memerlukan rawatan perubatan.

Keluarga tersebut mengaku tidak tahu mengenai tuduhan curi kereta terhadap Chen Peng.

Bapa saudara Hong telah membuat laporan polis pada 3 Mei atas tuduhan serangan itu.

Sementara itu, Beh berkata mempunyai lasan untuk menolak akses undang-undang terhadap tahanan berkenaan.

Beh berkata, Chen Peng ditahan di bawah Seksyen 28A (8) Kanun Prosedur Jenayah.

"Berdasarkan subseksyen ini, polis dibenarkan untuk menolak hak sesiapa pun yang ditangkap untuk menghubungi teman, sanak saudara, atau peguam jika hal itu boleh mengganggu siasatan," katanya seperti dipetik Malay Mail.

[Baca berita asal]