Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pertimbang beri kuasa pada parlimen teliti calon IGP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia berhak mendapatkan sistem pentadbiran, pengurusan dan penguatkuasaan yang lebih cekap dan profesional.

Suka atau tidak, kepercayaan orang ramai kepada pasukan polis boleh terjejas akibat isu berbangkit.

Walaupun bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador telah melakukan tugas cemerlang dengan mengetengahkan beberapa isu penting untuk pengetahuan umum, perjuangan menentang jenayah rasuah dan salah laku tidak harus dipikul beliau seorang.

Sebagai rakyat biasa, kita juga ada tanggungjawab untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyokong pihak yang mahu membanteras ancamam terhadap integriti pasukan polis.

Abdul Hamid Bador 

Bagi memantapkan sistem demokrasi serta mempertingkatkan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis, kita boleh memberi pertimbangan untuk membawa proses pelantikan ketua polis negara ke parlimen.

Pada ketika ini proses lantikan dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat perdana menteri dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis seperti termaktub bawah Fasal 4 dan 5, Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 140(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

“Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas jawatan ketua polis negara, timbalan ketua polis negara dan apa-apa jawatan lain dalam pasukan polis yang pada pendapatnya adalah serupa atau lebih tinggi tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidaklah boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis.”

Perkara 140(5) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan:

“Sebelum bertindak mengikut Fasal (4) atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat perdana menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.”

Ancaman kartel

Pertimbangan perlu diberikan bagi meminda proses pelantikan ketua polis negara dengan membawa proses pelantikannya melalui parlimen.

Cadangan pembaharuan terhadap proses lantikan ini adalah satu bentuk semak dan imbang dan ia diyakini berupaya menangkis sebarang ancaman kartel dalam pasukan polis pada masa akan datang.

Perubahan terhadap proses pelantikan ini juga dapat memberi semangat dan keyakinan kepada ketua polis negara yang akan dilantik untuk melakukan proses tambah baik terhadap sistem, prosedur dan peraturan sedia ada kerana dia diberi tanggungjawab dan mandat daripada wakil- wakil rakyat dalam parlimen.

Walaupun jawatan ketua polis negara kini diisi oleh orang baru, namun adalah penting supaya isu berbangkit berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disiasat bagi menjaga nama baik pasukan ini serta mempertingkatkan kepercayaan rakyat.

Bukit Aman

Oleh itu, satu siasatan terperinci harus diadakan bagi menyiasat dakwaan bekas Abdul Hamid baru-baru ini bahawa wujud ‘kartel’ dalam pasukan polis yang bersekongkol untuk menyingkirkannya.

Beliau mendedahkan cita-cita ‘kartel’ tersebut adalah untuk menguasai pasukan polis demi kepentingan peribadi.

Dakwaan ini perlu dilihat sebagai dakwaan yang serius yang perlu disiasat dengan segera dan diteliti secara terbuka kerana ia melibatkan integriti dan nama baik pasukan polis.

Pasukan polis merupakan pasukan penguat kuasa terpenting dalam negara. Buat sekian lama, pasukan polis memainkan peranan memastikan keamanan dan ketenteraman awam terpelihara.

Kewujudan sebuah pasukan yang berintegriti tinggi serta bebas daripada dakwaan dan skandal adalah penting.

Oleh yang demikian, penting satu siasatan menyeluruh dilakukan.

Tubuh RCI

Proses siasatan ini dipercayai dapat dilakukan dengan baik dan berkesan melalui penubuhan suruhanjaya siasatan diraja atau RCI.

Dengan adanya RCI segala dakwaan boleh disiasat dengan teliti oleh pihak-pihak yang bebas dan tidak berkepentingan.

Segala dakwaan juga boleh disiasat dengan lebih baik oleh pakar-pakar yang memiliki pengalaman bersesuaian.

Apa yang paling penting, RCI dapat mempertingkatkan tahap kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan sistem demokrasi negara kita.

Segala hasil atau rumusan yang diperolehi daripada RCI boleh diberikan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Kesimpulannya, penting satu bentuk reformasi dilakukan terhadap proses pelantikan ketua polis negara bagi mengukuhkan sistem demokrasi negara kita.

Pada masa yang sama, kerajaan harus memberi pertimbangan yang serius terhadap cadangan menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan dan isu yang telah dibangkitkan.

Pasukan polis adalah tiang keselamatan negara dan harapan rakyat. Jika rakyat sudah tidak lagi menaruh harapan kepada anggota keselamatan, apa lagi yang ada untuk rakyat negara ini?


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) manakala SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN berkhidmat sebagai anggota parlimen Muar.

Tulisan ini tidak semestinya mencermirkan pendirian Malaysiakini.