Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita kongsi juadah raya buat perantau di ibu kota

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berikutan ramai yang tidak dapat pulang ke beraya bersama keluarga di kampung tahun ini, seorang warga kota tampil berkongsi kemeriahan Aidilfitri dengan menghantar juadah raya kepada mereka yang tinggal dalam daerahnya.

Selasa lalu, Rafiqah Umu Habibah Parok, 30, memuat naik ciapan di Twitter bagi mencari individu bujang yang menetap di Gombak, Selangor dan beraya di perantauan tanpa keluarga.

"Sesiapa yang bujang menetap di daerah Gombak, tidak dapat pulang beraya atas sebab tidak boleh merentas negeri, boleh menghantar alamat dan nombor telefon melalui direct message."

“Saya ingin hantar rendang ayam dan lemang ke rumah awak semua malam raya nanti. Jangan malu-malu. Mesej sahaja,” katanya.

Dihubungi Malaysiakini, dia berkata idea untuk berkongsi juadah ini datang secara tiba-tiba dengan niat ingin melihat orang lain gembira.

“Disebabkan kita tak buat apa-apa, kita tak beraya di rumah orang, kita banyak masa, apa kata kita bagi orang gembira?” kongsi Rafiqah Umu Habibah yang tinggal bersama keluarganya di Selayang.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun kedua dia menyediakan juadah raya dengan segala kos ditanggung sendiri.

Malahan dia tidak mahu menerima sebarang bayaran daripada penerima juadah tersebut.

Tahun lalu, Rafiqah Umu Habibah bersama kakak dan ibunya turut menyediakan juadah yang sama, rendang dan lemang buat mereka yang tidak dapat pulang ke kampung.

“Ketika itu, masih dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), jadi saya boleh hantar sampai ke Shah Alam,” katanya, yang bekerja dalam bidang pentadbiran.

“Saya minta penghantar saya mengagihkan di kawasan yang berdekatan, manakala saya hantar yang jauh sedikit.”

Menerusi mesej yang diterima, dia berkata ada yang tidak berpeluang bersama keluarga selama dua tahun berturut dan ada juga yang terpaksa bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri.

Berbeza dengan tahun sudah, dia tidak menyangka akan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan pada tahun ini daripada pengguna Twitter.

“Pertanyaan melalui DM (direct message) memang banyak. Saya seboleh mungkin membalas mesej-mesej tersebut walaupun permintaan telah ditutup,” tambahnya.

Katanya, dia hanya menerima permintaan sehingga 40 pek sahaja tahun ini atas kekangan masa yang tidak mencukupi untuk membuat penghantaran pada malam raya.

Kata Rafiqah Umu Habibah, dalam situasi pandemik ini, kita perlu menjaga antara satu sama lain dan memberi sokongan buat yang memerlukan.

“Sokongan secara fizikal dan mental itu perlu ada, tak kiralah kawan-kawan mahupun bagi yang tak mengenali,” katanya.