Skip to main
Logo Malaysiakini

Maik benarkan masjid mukim di jajahan Gua Musang dibuka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan kegiatan ibadah di masjid-masjid mukim jajahan Gua Musang berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Bagaimanapun semua masjid mukim selain jajahan Gua Musang, surau dan musolla di negeri itu masih ditutup untuk semua aktiviti.

Antara kegiatan ibadah tersebut adalah solat berjemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih.

Yang Dipertua Maik, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran ini bertujuan memberi peluang kepada umat Islam untuk beribadat di hari sepuluh terakhir Ramadan.

“Kebenaran ini adalah bagi memberi peluang kepada kaum muslimin dan muslimat untuk beribadat di masjid-masjid tersebut di hari-hari terakhir Ramadan mengikut 70 peratus kapasiti selepas penjarakan dan berada dalam saf dengan penjarakan dua meter.

“Manakala, memandangkan kes Covid-19 yang telah menunjukkan penurunan di jajahan Gua Musang maka pelaksanaan Solat Jumaat, Solat Fardu dan Solat Sunat Terawih di masjid-masjid mukim jajahan Gua Musang turut dibenarkan dengan kapasiti yang sama,”katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pada 20 April, Malaysiakini melaporkan Maik mengarahkan penutupan seluruh masjid mukim, surau dan musolla di Kelantan dan hanya membenarkan solat Jumaat, fardu dan solat sunat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan sahaja bagi membendung penularan Covid-19. 

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata lagi, aktiviti seperti tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain masih tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, imam tua, imam muda, bilal dan siak boleh bertugas di masjid, surau dan musolla masing-masing.

“Imam tua, imam muda, bilal dan siak dikehendaki hadir bertugas untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid, surau dan musolla masing-masing,” jelasnya.

Katanya, perkara itu telah diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berdasarkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, agar solat

Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid, surau dan musalla yang ditetapkan, dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOPP).

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid/surau/musolla. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,”katanya lagi.