Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenakakan rogol, pemeriksaan haid: Radzi jangan tidur, kata Anwar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengambil tindakan tegas untuk menamatkan budaya pemeriksaan haid dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.

Dalam temu bual bersama Ain Husniza Saiful Nizam di Facebooknya hari ini, Anwar juga berkata dia kecewa apabila tiada tindakan diambil terhadap guru yang "bergurau mengenai rogol".

"Saya menggesa pengetua, guru-guru selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menteri - maaf ya - dia agak lembap.

"Ini ada masalah dan kita kena siasat segera dan ambil tindakan, kalau ada kes jenayah polis perlu bertindak.

“Menteri pendidikan jangan tidur, kena siasat segera. Saya sebagai datuk dan bapa, saya tidak pandang hal ini ringan, beri ruang dan biar terangkan dan pertahan kebenaran," katanya ketika sesi temu bual itu.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan pengakuan seorang pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang mendedahkan insiden guru bergurau mengenai rogol semasa pembelajaran di sekolahnya.

Pendedahan itu kemudian mengundang seorang pelajar membuat ugutan rogol ke atas Ain Husniza. Pelajar lelaki terbabit kemudian mengakui keterlanjurannya dan meminta maaf.

Pendedahan itu kemudian membawa kritikan orang ramai terhadap KPM.

Tak pernah dibuat orang

Selain itu Malaysiakini juga mendedahkan mengenai amalan pemeriksaan haid ke atas pelajar wanita yang tidak menunaikan solat. Perbuatan itu mengundang kritikan termasuk dalam kalangan pemimpin politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dalam sesi tadi Anwar turut mengkritik KPM kerana menganggap ia gagal mempertahankan Ain Husniza.

“Mereka seharusnya tidak membiarkan dia menghadapi 'kesan sampingan' sehingga dia takut untuk bersekolah.

"Masalah ini seharusnya dapat diatasi dan tidak dibiarkan berlanjutan selama dua minggu," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Polis kini menyiasat guru Ain Husniza setelah laporan polis terhadapnya dibuat.

Radzi sebelum ini menjanjikan siasatan menyeluruh mengenai tuduhan itu dan sekiranya benar KPM tidak akan berkompromi dengan guru yang terbabit.

Sementara itu, Anwar juga mengkritik pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan sekolah.

"Ini kerja gila, sejarah Islam 1,400 tahun orang tak pernah buat kerja macam itu.

"Yang ini kalau benar berlaku dalam bentuk diceritakan memang yang gatal sajalah," katanya.

Tambah presiden PKR itu lagi pihak yang berkenaan bukan saja mesti menghentikannya malah mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Mana ada kerja begini yang dilakukan... tak pernah saya dengar, tak pernah saya baca.

"Kalau ibu sendiri check anak dia, munasabahlah. Tapi (pelajar) pergi ke sekolah kena check begitu, kerana takut anak tipu [...]

"Apa mengarut ni?" katanya.