Kenapa Dr M lantik Hamid Bador jadi IGP
Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya melantik Abdul Hamid Bador sebagai ketua polis negara (IGP) ketika dia menjadi perdana menteri buat kali kedua.
Bekas perdana menteri itu berkata, antara sebab dia membuat pilihan itu adalah kerana yakin Abdul Hamid mempunyai keupayaan untuk memulihkan imej polis yang terpalit dengan penyelewengan dan rasuah.
"Sebelum dia bersara saya jumpa dengan dia...Dia kata dalam polis banyak penyelewengan, banyak rasuah. (Ketika itu) dia orang nombor dua dalam Cawangan Khas (SB), jadi dia sepatutnya dilantik ketua SB, tapi dia tak mahu kerana ada banyak penyelewengan.
"Saya berpendapat tak ramai orang sanggup berhenti awal walaupun ada peluang untuk naik pangkat, (tapi) bila dia buat macam itu saya fikir dia akan jalankan tugas dengan baik.
"Sebab itu walaupun dia junior, walaupun dia sudah bersara saya panggil dia balik untuk jadi IGP," katanya dalam wawancara bersama Malaysiapost, malam tadi.
Abdul Hamid dilantik sebagai IGP pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang bersara.
Ketika pentadbiran BN, dia yang merupakan timbalan pengarah SB dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, satu keputusan yang didakwanya berkaitan dengan tindakannya menyiasat skandal 1MDB.
Dia kemudian bersara sebelum bertugas semula sebagai pengarah SB selepas PH menang PRU 2018.
Dalam sidang media terakhirnya sebagai IGP pada 3 Mei lalu, Abdul Hamid mengundang perhatian apabila "menyerang" Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan membangkitkan isu campur tangan politik dalam pasukan polis.
Mengulas lanjut, Mahathir memuji Abdul Hamid atas usahanya membanteras penyelewengan dalam polis sepanjang memimpin pasukan itu.
"Selama dia IGP ramai juga pegawai polis kena tangkap kerana rasuah, dulu tak pernah jadi. Ini mungkin tak banyak rasuah (dulu), sekarang kita tahu banyak rasuah," katanya.
Sementara itu Mahathir menyifatkan campur tangan menteri dalam pentadbiran polis tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, menteri dan IGP memang perlu mempunyai hubungan baik tetapi bukan dengan tujuan mengawal pasukan tersebut.
"Jadi, hubungan antara IGP dengan menteri baiklah, dengan syarat menteri jangan salah guna kuasa...dia (Hamzah) nak paksa semua orang dia (yang dipilih) tak bolehlah," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai