Mahkamah tolak saman hasutan ke atas Hadi Awang
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Abdul Hadi Awang untuk membatalkan saman pemula saman terhadap presiden PAS itu yang didakwa menghasut pengikut agama Kristian.
Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir dalam penghakimannya membenarkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua dan berkata bahawa saman itu tidak mempunyai locus standi, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Ketika saya meneliti keseluruhan saman itu, sebenarnya jika ada pihak yang hendak dipersalahkan kerana kecenderungan menghasut adalah plaintif sendiri.
"Mereka (plaintif) telah membangkitkan semula perkara yang berlaku pada 2016 dan menjadikan ia sebagai isu baharu.
“Oleh demkian, saya membenarkan permohonan defendan (Hadi) untuk membatalkan saman pemula itu kerana ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” kata hakim.
Hakim Akhtar juga memerintahkan setiap plaintif membayar kos tindakan RM50,000 kepada defendan.
Menjelaskan mengenai kos itu, Hakim Akhtar berkata sebagaimana dia nyatakan, ini bukannya kes litigasi kepentingan awam, maka pihak terlibat tidak dapat menafikan perkara itu.
“Ini adalah kes remeh yang boleh membebankan sistem keadilan dengan proses litigasi yang tidak perlu.
“(Ungkapan) ‘see you in court’ (jumpa anda di mahkamah) kini telah menjadi ikutan (fesyen). Kita tidak boleh membiarkannya membawa kepada tindakan remeh, maka dengan itu saya akan mengenakan kos sebanyak RM50,000 terhadap setiap plaintif yang akan dibayar kepada defendan,” kata hakim.
Menjelas lanjut, hakim Akhtar berkata dalam kes ini, salinan artikel Harakah juga tidak dikemukakan di mahkamah.
"Mahkamah telah dipandu kepada artikel dalam penerbitan lain yang ditulis semula dan didapati penuh bahaya kerana kita tidak tahu mengenai kandungan asal yang diperkatakan dalam artikel sebenar.
“Penghasilan semula artikel dalam bahasa Inggeris ini tidak jelas untuk menunjukkan bahawa artikel asal dalam akhbar Harakah sama ada ia ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain," kata hakim.
Seterusnya, hakim menjelaskan bahawa tiada sebarang pernyataan yang didakwa dibuat oleh defendan merujuk kepada plaintif.
"Sebaliknya, ia merujuk kepada mubaligh Kristian. Plaintif tidak mewakilkan diri mereka sebagai mubaligh Kristian dalam saman ini,” katanya.
Hakim Akhtar juga menegaskan bahawa plaintif juga gagal menunjukkan bahawa saman itu difailkan demi kepentingan awam.
"Sesuatu saman itu tidak secara automatik menjadi kepentingan umum hanya kerana melibatkan tokoh masyarakat. Kata-kata yang kononnya dibuat empat tahun lalu, tidak dapat dibuktikan kenapa dan bagaimana ia boleh menjadi kepentingan umum sekarang, ” katanya.
Kedua-dua plaintif dari Sabah itu diwakili oleh peguam, R Kengadharan dan Marcus Lee Min Lun sementara peguam, Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan mewakili Abdul Hadi.
Saman itu difailkan oleh kedua-dua plaintif pada 9 Disember lalu.
Yusfarizal ketika dihubungi mengesahkan bahawa hakim telah membenarkan permohonan anak guamnya itu.
"Permohonan defenden tekah dibenarkan," katanya.
Kedua-dua plaintif itu menyaman Hadi berhubung kenyataan yang diterbitkan dalam organ parti, Harakah pada 18 Januari 2016.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.
Mereka meminta pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam pemerintahan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.
Pada 2 April, dilaporkan bahawa Hadi dilantik sebagai utusan khas ke Timur Tengah, yang merupakan jawatan setaraf dengan menteri.
Pelantikan itu dibuat tidak lama setelah kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan dan kemunculan pemerintahan Perikatan Nasional yang ada sekarang.
Menurut pernyataan tuntutan saman itu, kedua-dua plaintif mendakwa bahawa pernyataan Hadi itu bukan sahaja bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan, tetapi juga telah memburuk-burukkan masyarakat Kristian di Malaysia.
“Kami dengan hormat menyatakan bahwa terdakwa telah membuat pernyataan yang tidak berasas terhadap orang Kristian dan / atau mubaligh Kristian.
"Kenyataan defendan telah memburuk-burukkan masyarakat Kristian di negara ini dan dengan demikian telah menjadi kepentingan awam.
"Namun, sudah lebih dari empat tahun sejak defenden mengeluarkan pernyataan menghasut ini tetapi tidak ada pendakwaan yang dilakukan terhadapnya," kata kedua-dua plaintif.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai