Skip to main
Logo Malaysiakini

'Cadangan bangunkan lapangan terbang Subang di tangan kabinet'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Pengangkutan berkata cadangan membangunkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau Lapangan Terbang Subang, masih lagi berada di peringkat awal.

Mengulas laporan bahawa sebuah entiti swasta mahu mengambil alih dan mengoperasikan lapangan terbang itu, kata kementerian, pengemukaan kertas cadangan kepada kerajaan bagi tujuan pengembangan aset baru atau sedia ada, adalah merupakan perkara biasa.

Namun, kata kementerian pengangkutan, keputusan akhir mengenainya terletak di tangan kabinet.

“Dalam kes Lapangan Terbang Subang yang telah menjadi kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan lanskap penerbangan Malaysia yang lebih meluas.

“Sebarang cadangan untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Subang masih berada pada peringkat awal dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan diputuskan oleh kabinet,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lapangan Terbang Subang yang mula beroperasi pada 1965 itu kini dimiliki Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dengan konsesi yang akan berakhir sehingga 2069.

Khanazah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) mempunyai pegangan kolektif sebanyak 53 peratus dalam MAHB setakat hujung 2020.

Kenyataan itu senada dengan kenyataan MAHB semalam, bahawa cadangan itu adalah proses biasa. Namun MAHB turut menekankan pentingnya mendapatkan pandangan daripada pengawal selia seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semalam, The Vibes melaporkan bahawa Subang Skypark Sdn Bhd (Subang Skypark) menghantar cadangan konsesi baru kepada kementerian penangkutan untuk mengoperasikan seluruh kawasan lapangan terbang itu sehingga 2092.

Subang Skypark dimiliki sepenuhnya oleh WCT Holdings Bhd (WCT Holdings).

Subang Skypark dilaporkan turut menghantar cadangan untuk memajukan tanah di lapangan terbang itu.

Laporan itu mendakwa MAHB, bersama Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) - yang memiliki Firefly - membantah cadangan tersebut.

Antara lain, mereka mendakwa langkah itu akan mengancam pulangan pelaburan buat pemilik MAHB, dan hal itu, kata mereka, “pasti (akan) melibatkan wang awam” kerana syarikat harus membayar pampasan kepada pemegang bon.

Kerugian itu, kata mereka bakal mencecah sehingga RM11.9 bilion berdasarkan konsesi lapangan terbang yang masih berbaki.

Lapangan Terbang Subang kini menjadi pangkalan buat perkhidmatan pesawat turboprop Firefly dan Malindo Airlines.