Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kakistokrasi' larang senam di luar: M'sia jadi bahan ketawa - Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan persekutuan digesa agar mempertimbangkan semula larangan senaman di luar rumah bawah SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa semalam.

Pada kenyataan media hari ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar membatalkan keputusan melarang senaman luar.

"Apakah kajian saintifik yang menunjukkan aktiviti berjalan atau berlari berseorangan adalah aktiviti berisiko tinggi untuk wabak Covid-19?

"Saya selalu berjalan berseorangan dan semua maklumat daripada internet mengatakan aktiviti berlari atau berjalan di kawasan yang kurang sesak adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 dan menguatkan sistem imun badan untuk melawan virus ini.

"Malaysia telah menjadi bahan ketawa sebagai akibat daripada (tindakan) kakistokrasi seperti ini. Sebenarnya, kerajaan perlu mempertimbangkan semula larangan menyeluruh untuk gimnasium, sukan tanpa hubungan dan latihan dalaman," katanya.

Dia berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan melarang aktiviti dan senaman luar semasa PKP 3.0.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut berkongsi pandangan pakar kesihatan Dr Steven Chow, presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia dan pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman yang juga anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan kerajaan tersebut.

Adeeba berkata risiko dijangkiti Covid-19 di luar adalah 18 kali ganda lebih rendah berbanding di dalam. 

"Tolong benarkan rakyat terus berjoging, berbasikal, bermain bola sepak atau sukan lain di tempat terbuka demi kesihatan fizikal dan mental kita," katanya.

Sementara itu, Chow mendakwa SOP tersebut “tidak masuk akal.”

Lim turut mendesak kerajaan perlu mengambil keputusan berdasarkan sains.

Dia juga menempelak Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Faysal Ahmad Kamal (gambar, atas) yang tampil mempertahankan keputusan larangan bersenam di luar rumah bawah PKP 3.0.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dijangka mengemukakan pendekatan lebih wajar mengenai perkara itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

"(Inilah keadaan) seperti yang digambarkan oleh mantan ketua polis negara, Hamid Bador, sebagai "Menteri-menteri tidak cerdik," kata Lim.

"Mungkin Wan Ahmad berpendapat bahawa dia lebih layak untuk memberi komen mengenai masalah tersebut, walaupun mantan timbalan ketua pengarah Kesihatan Dr Christopher Lee telah mengatakan bahawa senaman di luar adalah agak selamat.

"Adakah Muhyiddin mampu membatalkan keputusan yang tidak masuk akal untuk melarang senaman di luar rumah di bawah MCO 3.0," soalnya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.