Campur tangan politik ni apa dia, Syed Hamid soal Abdul Hamid
Meskipun terdapat salah faham atau perbezaan pendapat antara pasukan Polis Diraja Malaysia dengan menteri, ia harus dibincang secara dalaman, kata veteran politik Syed Hamid Albar mengulas pendedahan bekas ketua polis negara (IGP) Abdul Hamid Bador.
Syed Hamid yang juga bekas menteri dalam negeri dari Mac 2008 ke April 2009 berkata kehormatan institusi dan sesama individu perlu dijaga.
“Sebab itu, benda-benda macam ni seharusnya… kalau saya punya pengalaman semua perkara-perkara yang berkenaan perkhidmatan kita bincang (secara) dalaman.
“Sama ada antara ketua polis itu dan menteri atau dalam konteks Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).
"Jadi dengan cara demikian, semua perkara kekal hanya antara mereka.
“Kita mesti tahu hak dan tanggungjawab masing-masing.
"Kedua-dua pihak perlu faham tentang akta rahsia rasmi,” katanya kepada kepada Malaysiakini.
Pada sidang media terakhirnya sebagai IGP pada 30 April lalu, Abdul Hamid mencadangkan SPP diketuai oleh pihak tidak berkepentingan, seperti bekas ketua hakim negara.
Abdul Hamid turut membuat beberapa dakwaan, antaranya bagaimana ada orang politik - atau menteri - mencampuri urusan dalaman PDRM.
Hal tersebut, katanya, sudah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.
Malah, dia mengakui tidak senang dan mempunyai hubungan tidak baik atau "bad blood" dengan Hamzah Zainudin yang merupakan pengerusi SPP dan juga menteri dalam negeri.
Menurutnya, menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.
Abdul Hamid juga membangkitkan kelemahan SSPP yang menurutnya bermesyuarat hanya empat kali setahun.
"Sepatutnya setiap bulan (SPP) bermesyuarat. Mesyuarat pun dua jam, macam minum kopi. Tak ambil berat," kata bekas ketua polis itu.
Mengulas lanjut, Syed Hamid yang kini pemimpin Bersatu berkata, meskipun Abdul Hamid telah tamat perkhidmatan, dia masih perlu mematuhi perkara yang termaktub dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“(Bekas) ketua polis negara telah meninggalkan perkhidmatannya… apabila kamu tinggalkan perkhidmatan, kamu masih perlu patuhi beberapa perkara.
“Dan saya tidak faham apa yang dikatakannya dengan campur tangan politik.
“Campur tangan politik ni apa dia? Sebab polis ni ada SPP. Ia sepatutnya dibincangkan dengan suruhanjaya (SPP),” katanya.
Sebelum ini, bekas ketua polis negara (IGP) Musa Hassan berkata campur tangan orang politik terhadap urusan polis bukan sesuatu yang asing dan bukan hanya berlaku semasa Abdul Hamid menjadi pegawai tertinggi PDRM.
Musa yang menjadi IGP dari Nov 2006 ke Sep 2010 bagaimanapun tidak menamakan orang politik yang didakwanya menyuruh polis membebaskan geng mereka, dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuannya.
Campur tangan politik ini, kata Musa lagi membabitkan operasi sehingga boleh menyebabkan proses siasatan polis terganggu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai