Skip to main
Logo Malaysiakini

Belia kongsi pengalaman jadi mangsa gangguan seksual di sekolah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terinspirasi dengan pengakuan berani Ain Husniza Saiful Nizam yang mengetengahkan isu lawak rogol di sekolah, beberapa belia tampil berkongsi cerita mengenai pengalaman tragis mereka sendiri semasa di sekolah.

Perkongsian itu melibatkan insiden gangguan seksual, serangan seksual, tingkah laku tidak sopan guru, pemeriksaan haid, budaya buli dan budaya menyalahkan mangsa.

Perkongsian ini dibuat oleh mereka yang pernah bersekolah di sekolah awam, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pada sesi forum terbuka dalam talian yang bertajuk "Sekolah Selamat Tak?" malam tadi, para peserta bersetuju bahawa sekolah perlu menjadi tempat yang lebih selamat untuk pelajar.

Seorang bekas pelajar MRSM yang hanya mahu dikenali sebagai T * berkata dia teringat bagaimana seorang guru lelaki pernah memanggilnya "seksi" setelah melihat gambarnya tanpa tudung.

Dia juga menceritakan bagaimana guru agama menjalankan amalan pemeriksaan haid ke atas pelajar wanita yang tidak solat.

"Saya ingat lagi, banyak kali ustazah beritahu kami untuk berbaris dan mereka akan memeriksa tuala wanita kami dan saya rasa ia sangat menakutkan.

"Mereka akan minta kami masuk ke tandas dan beritahu kami untuk menunjukkan tuala wanita kami," katanya.

Perkongsian daripada seorang lagi belia yang mahu dikelani sebagai A** dari Sabah mendedahkan bagaimana prestasinya merosot setelah seorang guru membuat kenyataan rasis terhadapnya.

Malah, dia juga sekali lagi kecewa apabila ada guru yang tidak mempercayai atau membelanya ketika seorang pelajar lelaki menyebarkan gambarnya yang telah diubah suai.

"Hanya seorang guru yang mempercayai saya dan baik kepada saya. Ramai guru lain di sekolah saya benar-benar membenci saya,” katanya, sambil menambah bahawa dia kini menjalani terapi kemurungan, kegelisahan dan serangan panik.

Budaya salahkan mangsa

Ketika CU * diserang secara seksual oleh seorang pelajar lelaki yang lebih muda, dia berkata bahawa gurunya menyalahkannya dan menyuruhnya mendiamkan diri mengenai apa yang telah berlaku.

"Guru menyalahkan saya dan menyuruh saya menutup mulut untuk melindungi nama sekolah. Saya dipanggil ke bilik pengetua dan pengetua meminta saya untuk tidak memberitahu polis, tidak membuat laporan polis dan tidak memberitahu sesiapa.

"Mengapa semua orang menyokongnya?" soalnya.

Begitu juga, H* yang berkata bahawa pelajar di MRSM tempatnya pernah belajar jarang melaporkan insiden seumpamanya yang melibatkan pelajar atau guru kerana mereka merasakan mereka tidak akan dipercayai.

"Mereka (pelajar) tidak dapat memberitahu perkara ini kepada para senior, mereka tidak dapat melaporkannya kepada para guru kerana mereka semua tahu apa yang akan berlaku. Mereka akan disalahkan (dalam kejadiaan itu).

"Mereka akan kata 'siapa yang minta kamu bawa telefon mudah alih?' Atau 'siapa yang minta kamu ambil gambar seperti ini sambil berpakaian seperti itu?," katanya.

Budaya buli

Semasa forum terbuka itu, salah seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai D* berkata bahawa dia sering dibuli di sekolah asrama kerana menjadi "lelaki yang lembut."

Bagaimanapun, ketika dia memberitahu gurunya tentang hal itu, dirinya pula yang dipersalahkan kerana tidak membela diri.

Namun, ketika D melawan dan mendatangkan kecederaan pada lelaki yang sering membulinya, dia pula yang dihukum.

"Saya dihukum kerana itu dan saya digantung selama dua minggu," katanya.

Forum terbuka dalam talian ini dianjurkan oleh Taylor’s Speaker's Corner dengan kerjasama KauOKTak, sebuah organisasi yang berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental di kalangan remaja.

Kempen #MakeSchoolsASaferPlace pula diilhamkan oleh Ain.

Sementara itu, seorang lagi bekas pelajar MRSM yang hanya mahu dikenali sebagai C mengakui dirinya tidak berani untuk bercakap secara terbuka mengenai ancaman rogol bekas teman lelakinya,

Ekoran ancaman tersebut, dia pernah cuba untuk membunuh diri dan bertindak mengambil barang terlarang seperti dadah.

"Saya hanya fikir itu. Ketika semua usaha mahu menjadikan sekolah sebagai tempat yang lebih selamat mula menjadi viral, saya takut untuk bersuara kerana entah bagaimana saya masih berhubung dengan budak lelaki yang mengancam akan memperkosa saya [...]

"Tetapi setelah banyak kali memikirkannya dan mempertimbangkannya, saya akhirnya cuba untuk bersuara," katanya.