Skip to main
Logo Malaysiakini

'Varian B.1.351, punca jangkitan berulang terhadap pesakit tahun lalu'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Varian Covid-19 B.1.351 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan telah menyebabkan kes jangkitan berulang di kalangan pesakit di Malaysia, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, pesakit berkenaan pertama kali dijangkiti oleh Covid-19 pada April tahun lalu dan kemudian pulih.

"Mungkin (jangkitan pertama) adalah varian yang berbeza. Tetapi kali ini pesakit tersebut dijangkiti varian Afrika Selatan," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Katanya, pesakit itu dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Dia kemudian berkata ada dua lagi kes jangkitan berulang lain, yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, tetapi tidak menyatakan varian mana yang menyebabkan jangkitan kedua itu.

Noor Hisham berkata, varian B.1.351 sudah tersebar dalam komuniti dengan 48 kes tempatan dikesan setakat ini.

Daripada 48 orang itu, dua pesakit telah meninggal dunia.

Keberkesanan vaksin AstraZeneca sangat rendah terhadap varian B.1.351.

Walau bagaimanapun, vaksin Pfizer telah terbukti berkesan melindungi daripada varian tersebut.

Noor Hisham berkata terdapat tiga kes tempatan dengan varian B.1.1.7, yang pertama kali dikesan di UK.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.