Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua Orang Ulu berusia 80an redah sungai deras untuk dapatkan vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pegawai kesihatan Dr Marcos Popey dari Klinik Kesihatan Belaga, di daerah Kapit di Sarawak menceritakan mengenai dua wanita Orang Ulu berusia 80-an yang sanggup mengharungi arus sungai yang deras dan hujan bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

"Program Vaksinasi Fasa 2 di Belaga telah bermula pada 7 Mei dan pada hari pertama, dua wanita Orang Ulu tersebut yang merupakan dari etnik Punan dari Punan Biau, Belaga menarik perhatian saya.

“Cubaan mereka untuk pergi ke pusat vaksinasi bersendirian adalah usaha yang luar biasa. Mereka melakukan perjalanan dengan menaiki bot ke KK Belaga untuk mendapatkan suntikan pertama mereka.

“Ia bukanlah perjalanan yang mudah kerana hujan ketika itu dan mereka harus melalui beberapa aliran sungai yang deras untuk tiba ke pusat vaksinasi," kata Marcos kepada Malaysiakini.

Kedua-dua wanita tersebut merupakan Lian Jubin, 86 dan Apong Salleh, 87.

Menurut Marcos, pasukan vaksinasi Klinik Kesihatan Belaga perlu melakukan perjalanan melalui cabang Sungai Rajang dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta helikopter untuk memastikan penduduk di Belaga mendapat vaksin.

"Kami akan pergi ke kawasan-kawasan luar bandar di bawah daerah Belaga seperti Metalun, Tegulang, Long Jawe, Naha Jaley, Long Tanyit, Long Kajang, Long Abit, Batu Keling, Punan Busang, Lusong Laku dan Punan Bah," katanya.

Belaga merupakan tempat tinggal etnik Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah, Punan, Kejaman, Lahanan, Penan dan Sekapan yang mempunyai bahasa dan budaya mereka tersendiri.

Ia terletak di hulu Sungai Rajang, kira-kira 120 kilometer di timur laut Kapit dan kurang dari 100 kilometer dari pantai Laut China Selatan berdekatan Bintulu. 

Bagaimanapun, hutannya yang tebal dan laluan yang berbatu membuatkan perjalanan mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangka.

"Jumlah populasi yang telah mendaftar dan memenuhi syarat untuk vaksinasi di daerah Belaga adalah 28,246," kata Marcos, sambil menambah bahawa fasa pertama vaksinasi di Belaga berlangsung pada 7 Mac.

Dia berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kapit telah memperluas program vaksinasi melalui dua kaedah yang berbeza untuk vaksinasi fasa dua dan tiga.

“Terdapat statistik dan kaedah untuk tiba kepada masyarakat di daerah terpencil dan luar bandar, supaya mereka yang turut mempunyai masalah dari segi geografi akan mendapat vaksinasi," katanya.

Sarawak berdepan dengan 207 kematian akibat Covid-19 dengan jumlah terkumpul sebanyak 34,706 kes.