Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis panggil wartawan M’kini bantu siasatan pendedahan Hamid Bador

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis merakamkan kenyataan petugas media Malaysiakini berkaitan dakwaan-dakwaan Abdul Hamid Bador dalam sidang media terakhirnya sebagai ketua polis negara (IGP) di Bukit Aman, 30 April lalu.

Editor Meja Bahasa Malaysia Malaysiakini Jimadie Shah Othman memberi keterangan kira-kira tiga jam bermula jam 11.30 pagi manakala wartawan penyiaran KiniTV Vivian Yap disiasat kira-kira dua jam.

Kenyataan dirakamkan oleh ASP Zaharin Abd Rahman dan SMD Zulsyarizwan Zulkefli daripada Bahagian Operasi Khas (D8), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Balai Polis Putra Perdana, Puchong.

Jimadie dan Yap antaranya ditanya berkaitan kandungan sidang media Hamid, kehadiran dalam acara itu serta butiran berita dan video yang disiarkan Malaysiakini dan KiniTV.

Hamid dalam sidang media terakhirnya di Bukit Aman

Hamid dalam sidang media itu antaranya membangkitkan dakwaan campur tangan politik dalam pasukan polis, isu rasuah dalam politik serta menghentam keras Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Malaysiakini tidak dimaklumkan siasatan dibuat bawah seksyen apa.

Pada 6 Mei lalu, ketua polis negara yang baru, yang juga pengganti Hamid, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis akan membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) berhubung dakwaan Hamid, susulan enam laporan polis di seluruh negara.

Acryl Sani Abdullah Sani

Acryl Sani berkata, selepas keterangan dikumpulkan, mereka akan mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara untuk diletakkan bawah seksyen apa bagi meneruskan siasatan.

“Kebiasaanya, bagi kesalahan salah guna kuasa atau rasuah perkara itu membabitkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun, kita akan tetap menyiasat perkara itu,” dia dipetik sebagai berkata oleh Utusan Malaysia.

Malaysiakini difahamkan siasatan masih di peringkat awal.

Polis tidak mendedahkan sama ada Hamid dan Hamzah akan dipanggil memberi keterangan.