Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis S'wak yakin dapat cari individu fitnah timbalan pesuruhjaya polis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis yakin akan dapat menjejaki individu yang menggunakan akaun Facebook palsu untuk menfitnah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh dengan mendakwa beliau melindungi sindiket kongsi gelap di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket berkata polis akan menjejak suspek dengan pelbagai kaedah termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) walaupun suspek menggunakan nama samaran serta akaun palsu.

Katanya, hasil siasatan awal, polis telah mengenal pasti semua individu yang terdapat dalam hantaran yang dimuat naik oleh suspek dalam Facebook tersebut.

“Ternyata ia adalah fitnah bagi tujuan untuk menjatuhkan imej dan reputasi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, satu perkongsian mengenai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak tular di Facebook yang mendakwa beliau menjadi pelindung utama sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di negeri ini.

Justeru, Lukas menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan media sosial sebagai medan untuk menyebarkan perkara berunsur jelik, fitnah, tidak benar atau tohmahan terhadap seseorang kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama