Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenyataan Hadi berlebihan, langgar hak rakyat - Faiz Fadzil

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menggesa penjawat awam untuk meletakkan jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai berlebihan dan melampau.

Malah kata wakil rakyat Amanah itu, kenyataan Hadi melanggar undang-undang Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi hari ini bahawa penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh meletak jawatan adalah satu tindakan yang ultra vires (berlebihan).

“Perlembagaan dan undang-undang. Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang.

“Manakala undang-undang yang mengawal selia penjawat awam iaitu Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) tidak meletakkan penentangan terhadap parti kerajaan sebagai satu alasan tindakan tatertib.

“Oleh itu, penjawat awam bebas untuk tidak berasa selesa atau tidak menyokong parti pemerintah walaupun tugas hakiki mereka adalah melaksanakan dasar kerajaan semasa,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Semalam, menerusi satu hantaran di Facebook, Hadi menuntut supaya penjawat awam mengikut arahan kerajaan yang dikuasai parti-parti yang memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.

Kata anggota parlimen Marang itu, sekiranya penjawat awam tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Faiz turut berpandangan, penjawat awam mempunyai hak untk menyatakan pandangan peribadi berhubung dasar kerajaan kerana ia turut memberi kesan dalam kehidupan mereka.

“Janganlah menganggap sesuatu kritikan itu sebagai penentangan politik,” katanya dengan menggesa supaya PAS lebih matang dan mengamalkan demokrasi.

Selain itu, Faiz turut menyifatkan tindakan Hadi seakan satu pemerintahan kuku besi yang memaksa rakyat.

“Rakyat bukanlah robot yang boleh diatur, tetapi rakyat mempunyai akal untuk bijak menilai.

“Inilah badi kerajaan tebuk atap yang mengkhianati mandat rakyat, bertindak zalim dan membelakangkan demokrasi,”katanya.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke-14 lalu pada tahun 2018, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Namun menerusi langkah Sheraton, pada 2020, dengan tindakan Dr Mahathir Mohamad bertindak meninggalkan Bersatu selepas presidennya, Muhyiddin Yassin itu membuat keputusan untuk keluar PH, gabungan itu tumbang.

Pada Mac tahun itu, Bersatu bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah membentuk kerajaan PN.

Bagaimanapun, hubungan antara Umno dan Bersatu retak apabila kedua-dua parti tidak lagi sehaluan selepas membentuk kerajaan.

Sementara itu, mengulas isu sama, Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali menanggapi kenyataan Hadi sebagai "sangat jumud".

Kata Sheikh Umar, Hadi sepatutnya lebih merendah diri dan bukan bersikap angkuh mahu mengugut rakyat yang mengkritik.

"Bagi saya, bukan penjawat awam yang perlu letak jawatan sekarang ini. Tetapi para menteri dan timbalan menteri yang dilihat tidak berfungsi yang perlu letak jawatan. Kita ada ramai menteri dan timbalan menteri yang tidak ketahuan hala peranan mereka [....].

"Ada yang tak kisah dengan SOP sedangkan rakyat terikat ketat dengan pelbagai garis panduan, peraturan serta denda dan hukuman. Dan banyak lagi. Mereka inilah sebenarnya yang perlu letak jawatan.

"Begitu juga jawatan-jawatan lain contohnya duta khas bertaraf menteri yang dilihat seperti 'makan gaji buta'. Mereka juga lebih dahulu perlu letak jawatan," katanya.