Skip to main
Logo Malaysiakini

MAHB mohon k'jaan kaji semula rancangan jual lapangan terbang Subang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysian Airports Holdings Bhd memohon kerajaan mengkaji semula segala rancangan penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada pihak swasta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi MAHB Zambry Abd Kadir berkata syarikat itu mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Malah, katanya, beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB kerap mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan juga pertumbuhan jumlah penumpang.

"Lapangan terbang secara umumnya adalah aset strategik hak milik negara, tambah-tambah lagi LTSAAS yang merupakan sebuah lapangan bersejarah negara dan dekat di hati rakyat Malaysia.

"Oleh itu, tentulah sebarang langkah dalam membenarkan ia dikendali oleh pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari segi aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik," katanya.

Zambry juga berkata bahawa LTSAAS berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar buat negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa. 

Justeru, jelasnya, MAHB memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju lapangan terbang berkenaan di bawah rangka kerja pelan induk ‘Subang Airport Regeneration Master Plan’.

Pemegang kepentingan utama MAHB adalah tiga dana yang dikendalikan oleh kerajaan - Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) - yang secara kolektif memiliki 53 peratus syarikat itu, setakat akhir tahun 2020.

Anak syarikat milik penuh WCT Holdings iaitu Subang Skypark Sdn Bhd telah mengemukakan tawaran untuk mengambil alih lapangan terbang berkenaan. WCT Holdings dikendalikan oleh ahli perniagaan Desmond Lim.

Setelah usul itu didedahkan, Kementerian Pengangkutan mengatakan bahawa keputusan akhir akan dibuat oleh kabinet.