Skip to main
Logo Malaysiakini

Cucu nafi datuk positif Covid-19 kerana anak balik kampung

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu rakaman video memaparkan seorang warga emas berjalan menaiki ambulan kerana positif Covid-19 dan kemudiannya meninggal dunia menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Namun apa yang dikesalkan waris lelaki terbabit, ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan video yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok bersama dakwaan palsu.

Allahyarham Mustafa Ismail, 82, serta isterinya Eshah Yusof, 73, didakwa dijangkiti Covid-19 melalui anak-anak mereka yang pulang ke kampung halaman di Kampung Pangkal Chuit, Machang, Kelantan.

"Datuk saya memang dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal dunia Rabu lalu, tapi bukan disebabkan anak-anak balik ke kampung seperti yang disebarkan.

"Arwah positif selepas berjangkit melalui kluster Pangkal Chuit yang menular di kampung ini," kata cucu pasangan warga emas terbabit, Nur Amirah Abu Bakar, 32, yang tampil memberi penjelasan sebenar hari ini.

Menurut Nur Amirah, Mustafa dan Eshah disahkan positif Covid-19 pada 30 April lalu selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pekerja sebuah maahad tahfiz yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Datuk dan nenek memang tinggal bersama anaknya yang bekerja di maahad itu. Selepas disahkan positif, atuk dan nenek dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan.

"Pada 1 Mei, datuk saya ditemui jatuh di dalam bilik air dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Tak salam, tak cium

Terdahulu video berkenaan tular melalui grup WhatsApp dengan kapsyen "anak balik dari perantauan positif Covid-19, berjangkit pada datuk dan nenek, al-Fatihah."

Nur Amirah berkata, dia tidak menyangka video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok menunjukkan datuk serta neneknya dibawa ke hospital dengan sebuah ambulans mendapat lebih 147,000 tontonan setakat kelmarin.

"Itu video terakhir datuk sebelum meninggalkan kami semua. Saya berkongsi dengan hasrat untuk buat kenangan dan muat naik ke akaun TikTok.

"Tak sangka ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara tidak betul," katanya.

Tambah Nur Amirah datuknya mempunyai tujuh orang anak termasuk tiga daripadanya tinggal di luar Kelantan.

Bagaimanapun katanya mereka semua sudah lama tidak pulang ke Kelantan iaitu sejak Covid-19 melanda.

"Saya sendiri sebagai cucu pun tidak bersalam atau cium seperti selalu kerana menjaga prosedur operasi standard (SOP) apabila menziarahi datuk dan nenek memandangkan atuk dan nenek sudah berusia.

"Kami juga sering mengingatkan atuk supaya tidak keluar ke mana-mana kerana bimbang," tegasnya.