Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa guna darurat jika tak boleh beri rakyat moratorium - Pemuda Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda Umno menggesa kerajaan memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara automatik kepada kumpulan rakyat tertentu.

Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemberian moratarium itu juga perlu diberikan tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.

"Apa fungsi proklamasi darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, dan di mana fungsi ordinan darurat jika pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

"Ramai yang mengadu susah dan makin tertekan dengan hambatan ekonomi yang kian meruncing lantaran pengurangan pendapatan yang mendadak akibat PKP yang menghadkan pergerakan dan membantutkan usaha memulihkan perniagaan masing-masing.

“Hakikatnya tiada satu bank ataupun institusi kewangan yang rugi jauh sekali muflis akibat penawaran moratorium waktu PKP kali pertama dilaksanakan dulu,” katanya pada satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Tahun lalu ketika PKP buat pertama kali diadakan kerajaan telah mengarahkan institusi perbankkan memberikan moratorium pinjaman bagi meringankan beban rakyat.

Pun begitu, selepas negara memasuki fasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), moratorium pinjaman diberikan secara tersasar kepada kumpulan tertentu.

Sebelum ini, ramai pihak, termasuk pembangkang menggesa kerajaan memberikan moratorium pinjaman kepada orang ramai kerana rakyat berada dalam situasi ekonomi yang sukar ekoran pandemik Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan negara akan berada di bawah PKP 3.0 bermula 12 Mei sehingga 7 Jun.

Dalam pada itu Asyraf berkata, semalam pihaknya menerima banyak permintaan dan maklum balas orang ramai agar bank dan institusi kewangan dapat memberikan moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan mengambil kira PKP 3.0 yang diumumkan kerajaan.

Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia kini sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.