Skip to main
Logo Malaysiakini

Mimpi ngeri terus 'hantui' mangsa gangguan seksual UM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyeksaan secara mental tidak akan berakhir buat mangsa gangguan seksual.

Soleil Ching (bukan nama sebenar) berkata dirinya masih mengalami mimpi ngeri ketika tidur di malam hari.

Ini selepas kejadian seorang pensyarah dengan gelaran profesor madya di Universiti Malaya (UM) mengganggunya secara seksual dua tahun lalu.

Dia tidak boleh melupakan peristiwa itu sehinggakan sentiasa terbawa-bawa ke dalam tidurnya.

“Dalam mimpi ngeri itu, saya diganggu secara seksual lagi. Saya bermimpi berada di dalam bas dan dia (pemangsa) duduk di sebelah saya. Saya tolak dan meminta jangan sentuh saya, tetapi dia tak berhenti.

“Ada gadis di sebelah saya, dan ramai lagi di hadapan. Saya jerit sekuat hati dan semua pasti dengar.

“Reaksi mereka hanya lah seperti ‘Oh, dia dah tolak, jadi tak perlulah nak bantu dia’. Akhirnya, tiada yang membantu saya.

“Saya katakan kepadanya: Berhenti atau saya campak kamu ke luar bas. Namun dia tak dengar. Saya mahu menarik dan menolaknya keluar.

“Beberapa budak lelaki sedang duduk berdekatan dengan pintu. Saya beritahu, saya diganggu secara seksual, jadi tolong bantu saya keluarkan dia dari bas.

“Bagaimanapun, mereka terlalu baik. Hanya pegang dia untuk elakkan daripada mengganggu saya. Akhirnya saya kembali tenang,” luahnya mengenai igauan traumanya itu.

Jumpa profesor madya

Ching tidak akan dapat melupakan hari itu. Tanggal 3 Jun 2019, minggu ulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan akhir. 

Koridor melalui bilik pensyarah itu sunyi kerana kebanyakan pelajar mengulang kaji di rumah. Ketika itu, dia ingin menyerahkan tugasan dan beberapa buku di pejabat penyarah tersebut.

Profesor madya itu kemudian mencabul Ching di dalam pejabatnya.

Pensyarah itu memeluknya, meraba pingangnya kemudian leher serta bertanyakan soalan yang melanggar hak privasinya. 

Mengetahui tiada siapa di luar pejabat. Dia berasa takut dan tidak berani untuk menghalang profesor madya itu.

Apabila pensyarah tersebut cuba menyentuh dagunya, dia cepat menolak dan memberikan alasan lantas bergegas keluar dari bilik itu.

Melalu rakannya, profesor madya itu akan meminta dia ke pejabat. Dia mendakwa dapat menyelesaikan semua soalan yang dia ada dalam persiapan peperiksaan.

“Saya sangat tertekan, hampir putus asa. Dia kemudian berterusan memaksa saya ke pejabatnya,” kata gadis berusia 24 tahun itu kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Meskipun ketika peperiksaan, walaupun dia duduk di hujung dewan, profesor itu akan terus bercakap dengannya. Mujurlah kawannya melihat dan membantu mengalihkan perhatian pensyarah itu dengan bertanyakan soalan.

“Saya ambil kelasnya, jadi saya terpaksa duduk untuk peperiksaan. Saya ingat tak nak pergi dan gagal dalam subjek itu. Namun kawan saya pujuk untuk pergi juga,” katanya.

UM tak dedah hukuman

Pada 1 Julai 2019, dia membuat laporan kepada unit integriti UM susulan kejadian tersebut.

Beberapa bulan kemudian, meskipun profesor madya itu digantung sewaktu siasatan kes, dia masih boleh masuk ke dalam kampus dan berjalan sekitar kawasan.

“Dia kerap datang ke universiti waktu petang. Saya takut untuk berjumpa dengannya. Jabatan kami kecil. Malah saya terserempak dengan dia beberapa kali,” katanya.

Salah seorang pensyarah memberitahunya untuk bersembunyi jika masih takut.

“Meskipun saya berani untuk melaporkan dia. Saya masih takut dia akan datang dan melakukan sesuatu kepada saya. Saya keliru. Mengapa saya perlu sembunyi, bukan dia?

“Dia pelaku kesalahan, dan semua di jabatan tahu orang itu adalah dia. Tetapi dia masih boleh berkeliaran. Saya pula macam tikus ingin melintas jalan, bersembunyi darinya,” keluhnya.

Siasatan kes tersebut juga amat perlahan. Profesor madya berkenaan dilaporkan telah bersara pada Jun 2020, setahun selepas kejadian itu.

Sehingga kini, Ching tidak tahu apa hukuman yang diberikan kepada pensyarah itu. Tidak berpuas hati dengan cara UM mengendalikan kes itu. Gadis itu kemudian membuat laporan polis pada Julai 2020.

Ditemani wakil pelajar UM dan UM Association of New Youth (Umany), dia turut melakukan sidang media untuk menceritakan perkara itu.

Selepas insiden itu mendapat perhatian media, UM menyatakan bahawa hukuman telah diberikan kepada pensyarah itu. Pun begitu, pihak universiti enggan mendedahkan hukuman itu, kerana ia merupakan hak privasi dan undang-undang.

Pihak polis juga kemudian mengakhiri siasatan kerana suspek dikatakan telah berdepan tindakan disiplin daripada UM.

Menurut Kod Amalan Untuk Mencegah dan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual di Universiti Malaya, jika pihak yang dituduh adalah pekerja, kemungkinan hukuman adalah amaran, denda, penghapusan hak emolumen, penangguhan penyesuaian gaji, pemotongan gaji, penurunan pangkat atau dilucutkan perkhidmatan.

Presiden Umany, Yap Wen Qing mendakwa profesor madya itu diturunkan pangkat dan telah bersara pada saat hukuman tesebut diberikan, menurut The Star.

Ramai lagi mangsa tak ke depan

Kajian dibuat oleh Universiti Sains Malaysia pada 2011 menunjukkan 75 peratus daripada pelajar sarjana berdepan gangguan seksual di kampus sekurang-kurangnya sekali. 

Sementara itu, 60 peratus daripada mangsa merupakan pelajar wanita.

Gangguan seksual telah menjadi isu berleluasa dan berpanjangan.

Bagaimanapun, kes Ching ini agak luar biasa. Dia bukan setakat membuat laporan kepada pihak UM tetapi juga, kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis dan mendedahkan perkara itu di media.

Menerusi wawancara ini, dia turut mendedahkan bahawa profesor madya itu telah menggangu tiga pelajar lain.

Ching selepas membuat laporan polis.

Kes pertama adalah sepuluh tahun lalu dan sebelum ini terdapat juga pelajar antarabangsa yang didakwa diganggu secara seksual.

“Dia gunakan cara sama. Namun saya tidak boleh dedahkan maklumat kerana ia hak privasi,” kata Ching yang menyatakan dia adalah mangsa ketiga.

Selepas membuat laporan, Ching berkata terdapat mangsa keempat yang turut mengalami kejadian sama.

Jelasnya, mangsa enggan tampil ke hadapan kerana mereka tidak ingin terus menerus berdepan pengalaman buruk itu. Mereka agak berat hati dan akhirnya memutuskan untuk tidak memfailkan aduan..

'Salahkan diri'

Ching mengakui, dirinya juga pada mulanya juga tidak dapat berfikiran positif.

“Saya sebenarnya salahkan diri sendiri pada mula. Saya bertanya beberapa soalan.

"Apa jadi kalau saya tidak ke pejabatnya, apa pula jadi kalau saya tak pakai skirt pada masa itu," katanya.

Ching suka memakai skirt dan pemakaian itu tidak salah dan dengan bantuan rakan-rakan dia berjaya berhenti menyalahkan dirinya atas kejadian gangguan seksual tersebut.

Ching turut risau, meluahkan perkara ini di media akan menjejaskan reputasi universiti. Pun begitu, selepas mendapat sokongan rakan-rakannya, dia percaya ini adalah cara untuk mengelakkan lebih ramai lagi pelajar daripada menjadi mangsa.

Apatah lagi menurut Ching, rakan-rakannya memberitahu profesor madya itu telah bertanya kepada orang lain mengenai keberadaanya, di mana dia tinggal, dan "adakah Ching tinggal seorang?"

Setahun selepas kejadian itu, Ching bersedia dengan persiapan mental dan perjalanan memperkasakan dirinya sebelum membuat laporan polis dan berdepan dengan pihak media.

Dia juga mengambil kelas pengajian gender dan menyelidik artikel berkaitan gangguan seksual.

[Baca berita penuh]