Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS anggap laporan media berkaitan Hadi sekadar 'cari publisiti'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda PAS hari ini menyatakan rasa kecewa mereka terhadap cara media tertentu membuat laporan mengenai kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang semalam.

Menganggap laporan berkenaan sebagai mencari publisiti, bersifat sensasi dan cuma menaikkan rating, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin berkata, media terbabit tidak memikirkan kesan laporan mereka kepada masyarakat.

Katanya pengamal media sepatutnya membangunkan rakyat dengan ilmu dan maklumat yang tepat agar rakyat dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni serta boleh berpolitik secara sihat, matang dan sejahtera.

"Pentas politik bukan sarkis untuk dijadikan tempat sensasi tetapi tempat untuk menyuburkan budaya demokrasi, berkhidmat kepada rakyat dan membangun kemajuan negara.

"Sekiranya pengamal media menjadikan dunia politik sebagai bahan sensasi atau sarkis hiburan untuk dijadikan bahan jenaka rakyat maka negara Malaysia akan terus mundur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.

Kata presiden PAS itu jika penjawat awam berasa tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

“Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.

“... secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya. 

Bukan ugutan tapi kebebasan

Untuk rekod Abdul Hadi juga pernah membuat catatan mengenai keberadaan penjawat awam ketika negara sedang ditadbir oleh Pakatan Harapan pada 19 April 2019.

Dalam lontaran pandangannya itu Abdul Hadi menggesa agar kerajaan tidak memusuhi penjawat awam.

"Sebenarnya kita mempunyai penjawat awam yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam kerjayanya. Maka janganlah disalahkan mereka sekali pun berlaku banyak perkara yang tidak menyenangkan rakyat.

"Apabila rakyat yang memilih kerajaan melalui pilihan raya, maka jangan menyalahkan penjawat awam yang menjadi jentera kerajaan," katanya.

Menurut Khairil Nizam Pemuda PAS sedih kerana media sepatutnya menjadi platform untuk "membangunkan kematangan dan tamadun" rakyat namun keadaan itu tidak berlaku.

Katanya tulisan Abdul Hadi sekali lagi "dieksploitasi" sebagai bahan sensasi oleh beberapa pengamal media sehingga membawa kepada maksud yang disalahertikan.

Menurut senator terbabit apa yang ditekankan presiden PAS ialah etika profesionalisme semasa melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.

"Mesej utama yang ingin disampaikan ialah sekiranya terdapat mana-mana penjawat awam yang tidak dapat menghayati serta melaksanakan polisi yang ditetapkan kerajaan semasa mereka mempunyai pilihan (jalan akhir) untuk memilih pekerjaan yang lain.

"Nilai yang ditekankan di sini ialah kebebasan untuk yang tidak bersedia berkerja dengan majikan (kerajaan semasa) yang mempunyai aspirasi bertentangan dengan pendirian hidup diri mereka.

"Ianya bukan ugutan tetapi suatu bentuk kebebasan memilih," katanya.